Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khairil Aslan hampir khatam al-Quran dalam kayuhan solo
Diterbitkan:  May 13, 2017 8:40 AM
Dikemaskini: 12:44 AM

Pendaki solo negara Khairil Aslan Ab Rasid kini hampir khatam al-Quran yang dibacanya sepanjang ekspedisi kayuhan solo beliau 'Dari Masjid Ku Menjelajah 2017' yang memasuki hari ke-27 semalam.

Khairil Aslan, 42, yang memulakan kayuhan menjelajah Semenanjung Malaysia bermula di Masjid Bandar Seri Putra, Bangi, Selangor sejak 16 April lepas, telah singgah hampir 200 masjid sepanjang kayuhannya setakat ini.

"Sambil berehat, saya baca al-Quran yang ada tafsir... lagi tiga hari saya nak tamat khatam al-Quran," katanya kepada Bernama setelah tiba di Masjid Kariah Bagan Pinang di Port Dickson dari Masjid Cina Melaka di Krubong, Melaka.

Menceritakan mengenai pengalaman kayuhan hari ini, anak jati Taiping, Perak itu berkata cuaca panas kering, selain keadaan jalan yang berbukit dan laluan sempit antara cabaran yang terpaksa dilaluinya dalam kayuhan sejauh 76.5 kilometer (km) itu.

"Kawasan pantai selatan ini panasnya kering sangat berbanding kawasan pantai timur-barat yang walaupun kering tetapi masih ada kelembapannya. Selain itu, laluan jalan lama ke Port Dickson juga agak sempit dan saya kena lebih berwaspada.

"Sudah 25 hari saya tidak kena hujan kecuali di laluan Tanjung Piai ke Muar (Johor) dan dari Muar ke Melaka, saya dapat merasai kayuhan dalam hujan," katanya.

Beliau berkata sepanjang 27 hari kayuhan, laluan Tanjung Piai ke Muar adalah kayuhan terpanjang yang pernah dilakukan dalam ekspedisinya itu, membabitkan jarak sejauh 175.3km.

"Kayuhan setakat ini membabitkan 2,700km dan ini penting untuk saya menguji kekuatan mental saya pada tahap maksima dalam cuaca yang agak ekstrem.

"Kekuatan mental memainkan peranan penting kerana untuk mencapai apa-apa pun kita kena kuat mental...ramai yang tidak mampu...tapi bagi saya apa pun saya nak lakukan, kekuatan mental kena ada untuk kita capai perkara lain daripada yang lain," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut melawat Pusat Dalam Komuniti (PDK) Permata Hati, Bagan Pinang yang mempunyai 19 orang pelatih.

Esok, Khairil Aslan dijadual akan berkayuh dari Bagan Pinang ke Sepang, Selangor sebelum menamatkan kayuhannya di Bangi, Selangor Ahad ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS