Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Serangan terhadap Hannah tak berasas - Nik Nazmi
Diterbitkan:  May 16, 2017 8:47 PM
Dikemaskini: 1:15 PM

Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan tuduhan bahawa Speaker Selangor, Hannah Yeoh memiliki dan membawa agenda Kristian sebagai tidak berasas.

Menurutnya, sepanjang mengenali Hannah, ADUN Subang Jaya itu merupakan penganut agama Kristian yang komited terhadap kepercayaannya, namun berdedikasi kepada rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang politik.

"Sebagai ADUN pula beliau merupakan seorang wakil rakyat yang amat disegani dan sentiasa berusaha keras untuk memastikan sekolah-sekolah agama di kawasan Subang Jaya mendapat peruntukan yang sewajarnya daripada kerajaan negeri.

"Malah beliau juga sering menghadiri program di masjid dan surau serta menghormati adab tempat ibadah sehinggakan pernah dikecam oleh MCA kerana memakai skaf di masjid.

"Serangan tidak berasas yang menggambarkan Hannah sebagai ahli politik yang mempunyai agenda tersembunyi di dalam politik jelas berniat mencalarkan imej beliau," kata Nik Nazmi yang juga timbalan speaker DUN Selangor.

Hannah hari ini membuat laporan polis terhadap pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Yusoff kerana mendakwanya mahu membina semula Malaysia mengikut acuan agama Kristian.

Antara lain, Kamarul mendakwa dalam biografi yang ditulis Hannah bertajuk Becoming Hannah (Menjadi hannah), ADUN itu mengaku penglibatannya dalam politik dibantu pihak Kristian.

Malah, dakwa Kamarul, Yeoh menggunakan kedudukan politik untuk berdakwah mengenai agama Kristian.

Kamarul memetik beberapa petikan dalam buku itu, antaranya yang menyebut Yeoh mendedikasikan hidupnya untuk tuhan (halaman 23), mengukur dirinya sebagai “child of God” (halaman 89) dan mendedahkan impiannya sebelum ini untuk menjadi mubaligh (halaman 108).

Hannah ketika menafikan dakwaan itu berkata buku tersebut memaparkan kisah peribadi dan kerana itu diberi tajuk Becoming Hannah, bukan Becoming DAP (Menjadi DAP) atau Becoming a Christian (Menjadi Seorang Kristian).

Berkaitan isu sekularisme, beliau menegaskan ia adalah konsep yang memisahkan kuasa dan pentadbiran daripada institusi agama dan “bukannya menolak agama”.

DAP juga katanya hanya “mempunyai agenda Malaysia, dan bukanlah agenda Kristian”.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata sepanjang menjadi speaker, Hannah telah memperkenalkan banyak pembaharuan untuk memberi ruang kepada Umno memainkan peranan sebagai pembangkang.

"Sebagai seorang ahli politik yang mendapat dorongan agama Islam untuk terlibat di dalam masyarakat, saya juga mempunyai ramai sahabat beragama Kristian yang saya senang membincangkan titik persamaan serta perbezaan nilai kepercayaan masing-masing.

"Saya mendapati lebih mudah bekerjasama dengan ahli-ahli politik lain yang turut didorong nilai-nilai positif agama mereka," katanya.

Lihat Komen
ADS