Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kerajaan perlu bertindak terhadap pemaju Forest City kerana membenarkan pekerja asing tanpa izin diupah bekerja di tapak projeknya, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Jika undang-undang sedia ada tidak boleh berbuat demikian, maka Setiausaha Agung MTUC J Solomon berkata, kerajaan perlu menyenaraihitamkan pemaju atau membatalkan lesen sehingga isu ini diselesaikan.

Solomon memberitahu Malaysiakini bahawa tindakan yang sama perlu diambil terhadap semua pemaju yang mengupah pekerja asing tanpa izin di negara ini.

Pada masa ini, tambahnya, pemaju dan kontraktor terlepas atas semua bentuk eksploitasi, pemerdagangan manusia atau penyeludupan pekerja asing seperti yang dilakukan oleh sub-kontraktor dan ejen.

Menurutnya, mereka tidak boleh dilepaskan daripada liabiliti kerana segala-galanya berlaku dalam hartanah mereka dan mereka perlu dipertanggungjawab terhadapnya.

Malaysiakini melaporkan beratus warga China terpaksa pulang selepas mendapati mereka mungkin tidak menerima bayaran dari sub-kontraktor projek Forest City. Pekerja ini asalnya tiba di Malaysia di bawah visa pelancong.

Sebahagian daripada mereka yang tinggal dan bekerja secara haram, dihutang gaji sehingga enam bulan dan hidup atas elaun bulanan sebanyak RM300. Pekerja ini tidak diupah oleh pemaju tetapi oleh individu-individu yang dilantik oleh sub-kontraktor.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata kementeriannya akan mempertimbangkan untuk proses ‘pengambilan semula’ pekerja berkenaan', manakala Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Mustafar Ali berkata pegawainya akan menyerbu Forest City.

Pemaju induk Forest City, Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV) telah berikrar untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang didapati menggaji pekerja asing tanpa izin berkenaan di projeknya.

"Tindakan tegas perlu diambil terhadap majikan yang tidak bertanggungjawab dan sikap sambil lewa sub-kontraktor," kata Solomon sambil menambah bahawa penguatkuasaan sangat lemah terhadap pelanggaran dan penyalahgunaan tersebut dan telah mencemarkan negara.

Warga China itu mendakwa ditipu oleh ejen-ejen di tanah air mereka, yang telah berjanji untuk mendapatkan mereka pekerjaan di Malaysia selepas membayar 10,000 yuan (RM6,288) dan 24,000 yuan (RM15,092).

"Pemaju, kontraktor dan majikan perlu memastikan mereka berurusan dengan ejen yang berwibawa jika mereka perlu membawa masuk pekerja asing untuk bekerja di Malaysia.

"Ini bukan sahaja untuk melindungi reputasi syarikat dan perniagaan mereka, tetapi juga nama baik negara kita," kata Solomon.

Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju dengan usaha kerajaan untuk mengesahkan pekerja asing, dengan memetik ketidakadilan terhadap pekerja Malaysia.

"Pekerja-pekerja dari China telah dijanjikan gaji lebih RM6,000 seseorang, yang dikategorikan di bawah kumpulan berpendapatan sederhana.

"MTUC amat merasakan bahawa terdapat cukup rakyat Malaysia yang akan berminat untuk bekerja untuk gaji seumpama itu," katanya sambil menambah majikan malah boleh membayar lebih dengan ganjaran kewangan bagi kemudahan yang diberikan kepada pekerja asing.

Oleh itu, tambahnya, mengesahkan mereka di bawah program penggajian semula, adalah satu ketidakadilan kepada pekerja Malaysia yang amat memerlukan pekerjaan dengan gaji sedemikian.

Kerajaan perlu mempunyai kemahuan politik untuk mentransformasikan seluruh dasar pekerja asing bagi menghentikan eksploitasi manusia di Malaysia, katanya.

Solomon juga menggesa kerajaan supaya mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk mengkaji, menyiasat dan mengkaji semula dasar yang berkaitan, serta mengambil tindakan terhadap semua pihak yang terlibat dan ada hubungan dalam tindakan eksploitasi pekerja asing dalam 25 tahun yang lalu.

[Baca berita penuh]
 

Lihat Komen
ADS