Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS dakwa pemindahan pengundi besar-besaran di Kelantan

PAS Kelantan hari ini mendakwa, terdapat pemindahan pengundi secara besar-besaran dilakukan di negeri itu.

Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan mendakwa, pemindahan pengundi itu dilihat sengaja dilakukan bagi membolehkan BN menjatuhkan kerajaan negeri yang ditadbir PAS.

Menurut Fadzli, terdapat beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mengalami perpindahan undi secara besar-besaran terutamanya di DUN Bukit Panau.

"Terdapat gerakan luar biasa dan besar-besaran dilakukan sebagaimana di DUN Bukit Panau di Tanah Merah. Seramai 1,100 orang dipindahkan ke DUN tersebut.

"Di DUN saya pula, DUN Temangan, sebanyak 700 pengundi di bawa ke DUN saya. Saya telah kenal pasti bahawa pengundi-pengundi yang didaftarkan ini penyokong tegar Umno, BN,” dakwanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.

PAS juga memutuskan akan menghantar kepimpinan tertingginya untuk bertemu dengan SPR bagi berbincang mengenai perkara tersebut dalam masa terdekat.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan BN berkaitan dakwaan itu.

Timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata, perkara itu serius memandangkan ia dikesan daripada Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) suku pertama yang dipamerkan baru-baru ini.

"Kita dapati berlaku pemindahan pengundi besar-besaran, khususnya di beberapa tempat di Kelantan.

"Kita akan mengambil tindakan susulan untuk memastikan peraturan SPR dilaksana dengan sempurna," katanya.

Lihat Komen
ADS