Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahathir: Penderma HARAPAN kini jadi buruan LHDN
Diterbitkan:  May 23, 2017 12:09 PM
Dikemaskini: 4:15 AM

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa mereka yang menjadi penyumbang atau penderma kepada Pakatan Harapan kini menjadi sasaran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai perdana menteri, Mahathir menikmati sokongan padu berterusan daripada jutawan, yang dirujuk oleh pengkritiknya sebagai kroni yang sentiasa mendapat manfaat dan habuan dalam bentuk kontrak kerajaan.

"Sekarang saya dengar sesiapa yang menderma kepada HARAPAN akan diganggu oleh LHDN," katanya pada satu ceramah di Selayang, malam semalam.

Walaupun Mahathir tidak menamakan sebarang individu berkenaan, dua sekutu rapat Mahathir, baru-baru ini dilaporkan akhbar berdepan dengan masalah dengan LHDN.

Semalam, MK Land Holdings Bhd mengumumkan bahawa firma itu menerima penyata cukai RM80.77 juta berhubung dengan tahun taksiran 2009-2011 dan 2013.

Antara projek MK Land, adalah membangunkan Bukit Merah Laketown dan Damansara Perdana. Syarikat itu diasaskan oleh Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar.

Menurut satu pemfailan MK Land kepada Bursa Malaysia semalam, syarikat itu tidak bersetuju dengan kaedah penilaian LHDN dan akan mengemukakan rayuan.

Sementara itu, aset milik pengerusi eksekutif Country Heights Holdings Bhd (CHHB) dan pemegang saham utama syarikat berkenaan, Tan Sri Lee Kim Yew dalam sebuah bank asing dibekukan oleh LHDN awal bulan ini.

Menurut kenyataan syarikat itu kepada Bursa Malaysia, LHDN cuba mendapatkan cukai RM22.5 juta daripada anak syarikat CHHB bagi tahun 1997 dan 1998.

Laporan berita menyatakan bahawa kedua-dua MK Land and Country Heights akan terpaksa menjual aset mereka untuk menjelaskan cukai mereka.

Difahamkan bahawa Mahathir bukan sahaja merujuk kepada Mustapha Kamal dan Lee.

Terdapat beberapa syarikat-syarikat sekutu Mahathir lain yang juga kini menjadi tumpuan LHDN, tetapi ini tidak dilaporkan.

Lihat Komen
ADS