Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Hamidah Othman mengakui wujudnya masalah dalaman parti di Perak.

Hamidah yang merupakan antara pengasas BERSATU di negeri berkenaan berkata, masalah di peringkat negeri yang berlaku kini ialah adanya pihak berpuak-puak terutama dalam memilih jawatan.

“Saya kena mengaku apa yang benar, hakikatnya kalau kita tengok memang begitulah (berpuak-puak). Memang ada masalah. Saya rasa apa yang berlaku sekarang lebih daripada masalah kronism. Terlalu banyak provokasi antara satu sama lain.

“Sebagai contoh, dalam mesyuarat Majlis Presiden sudah mencadangkan nama untuk ketua bahagian, tetapi bila diumumkan, nama lain pula.

“Ini melibatkan maruah, bukan soal jawatan sangat. Bagi nama lain, tapi yang diumumkan nama lain. Nama itu ditukar atas nasihat pengerusi negeri.

“Inilah titik permulaannya,” katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan exco srikandi BERSATU, Zulaiha Sidek yang meletak jawatan kerana telah hilang kepercayaan kepada parti dan mendakwa BERSATU Perak kini sedang bergolak.

Selain itu, ketika ditanya mengenai desas-desus bahawa beliau akan meninggalkan parti, Hamidah berkata perkara itu tidak akan berlaku buat masa ini.

“Tidak, buat masa ini saya tidak,” katanya ringkas.

Hamidah turut memberitahu, beliau juga tidak mempunyai kuasa untuk menangani masalah yang berlaku di peringkat negeri ketika ini dan berharap agar pengerusinya dan BERSATU pusat dapat menyelesaikan segala masalah yang melanda dengan segera.

"Masalah ini boleh dibendung kalau pimpinan bijak tanganinya segera kerana kalau tidak, kudis akan bernanah.

"Pucuk pimpinan pusat juga kena pandang serius perkara ini," katanya lagi.

Sementara itu, bagi Zulaiha pula, beliau mengambil keputusan meletakkan jawatan kerana ingin memberi pengajaran kepada BERSATU Perak agar segera menyelesaikan masalah dalaman parti.

Bagaimanapun, Zulaiha menjelaskan beliau hanya meletakkan jawatan yang dipegangnya termasuk menjadi ketua srikandi penaja BERSATU bahagian Batu Gajah.

“Saya letak jawatan kerana hilang keyakinan terhadap perpecahan yang berlaku dalam BERSATU Perak.

“Jadi saya minta pihak berwajib kepimpinan BERSATU ambil inisiatif untuk perbaiki keadaan untuk kebaikkan parti.

“Saya hanya meletakkan jawatan, tidak keluar daripada parti,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi BERSATU Perak, Faizal Azumu menafikan dakwaan bahawa parti berkenaan mengalami pergolakan.

Malah, katanya kepada Malaysiakini, apa yang berlaku kini ialah anggota parti tetap bersatu dan memberi tumpuan kepada gerak kerja pilihan raya.

Bagaimanapun, jelasnya, mungkin terdapat sebilangan kecil anggota parti yang tidak berpuas hati dengan lantikan yang dilakukan.

"Saya tidak melihat BERSATU Perak sedang bergolak. Majoriti besar pemimpin dan anggota tetap bersatu serta memberi tumpuan kepada gerak kerja pilihan raya.

"Sebilangan kecil anggota yang tidak berpuashati dengan beberapa lantikan telah mencuba sedaya upaya memberi persepsi BERSATU Perak bergolak.

"Namun, perkara ini tidak melemahkan. BERSATU Perak sedang aktif menjalankan program dan aktiviti demi untuk menambah sokongan kepada parti," katanya.

Faizal turut menafikan dakwaan yang mengatakan BERSATU Perak kini berpuak-puak.

Katanya, seluruh anggota parti masih berpegang teguh kepada perjuangan parti dan taat kepada pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Lihat Komen
ADS