Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi junjung kasih pada Sultan Selangor
Diterbitkan:  May 25, 2017 5:48 PM
Dikemaskini: 9:51 AM

PAS hari ini menyanjung tinggi limpah perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memastikan kestabilan kerajaan negeri dengan mengekalkan tiga exco parti berkenaan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata seluruh anggota parti itu menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada baginda atas keputusan berkenaan.

Langkah itu, katanya akan memastikan kebajikan serta kemakmuran rakyat terpelihara.

"Patik sepenuhnya meyakini ketiga-tiga anggota exco Selangor dan 10 orang anggota dewan undangan negeri (ADUN) PAS tidak pernah luntur semangat untuk menjunjung kepercayaan Tuanku dan meneruskan amanah bagi menjaga kestabilan kerajaan negeri Selangor dan berkhidmat untuk rakyat dengan adil dan saksama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pagi tadi Sultan Sultan Sharafuddin dilaporkan memperkenankan cadangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali, untuk mengekalkan ketiga-tiga exco PAS.

Mereka akan tetap berkhidmat dalam kerajaan negeri sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Keputusan itu diumum Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani.

Isu kedudukan exco PAS di Selangor menjadi perhatian selepas PAS memutuskan kerjasama politik (tahaluf siyasi) mereka dengan PKR.

Gabungan PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PAS membentuk majoriti di DUN Selangor sejak PRU ke-12 pada 2008.

Bagaimanapun perseteruan politik menyaksikan mereka memutuskan hubungan dengan semua parti yang membentuk kerajaan di Selangor.

Ekoran itu wujud desakan supaya exco PAS terbabit digantikan.

Bagaimanapun Azmin berpendapat ketiga-tiga exco itu dikekalkan demi kepentingan rakyat.

Lihat Komen
ADS