Paling Popular
Terkini

Mesir telah mengharamkan 21 laman web, termasuk laman web utama stesen televisyen Al Jazeera yang berpangkalan di Qatar dan laman berita bebas terkemuka tempatan, Mada Masr, dengan menuduh mereka menyokong keganasan dan menyebarkan berita palsu.

Sekatan itu adalah yang pertama diakui secara terbuka oleh kerajaan. Ia dikritik keras oleh wartawan dan kumpulan hak asasi.

Agensi berita kerajaan mengumumkan mengenainya lewat semalam. Pada masa lalu, ada laman web individu yang tidak dapat diakses tetapi tidak pernah ada sebarang pengakuan rasmi mengenainya.

Reuters menemui lamanweb yang dinamakan oleh media tempatan dan tidak boleh diakses.

Ia ekoran tindakan yang sama yang diambil semalam oleh sekutu Mesir - Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu - yang menyekat Al Jazeera dan lamanweb lain selepas satu pertikaian dengan Qatar.

Qatar berkata, penggodam telah menyiarkan kenyataan palsu oleh emirnya yang mengkritik dasar luar AS tetapi media kerajaan Arab Saudi dan UAE turut melaporkan komen itu.

Seorang pegawai dari Lembaga Kawalselia Telekom Mesir tidak mengesah atau menafikan sekatan itu, tetapi berkata: "Bagaimana jika ia benar? Ia tidak seharusnya menjadi satu masalah."

Dua sumber keselamatan memberitahu Reuters bahawa 21 lamanweb telah disekat kerana dikaitkan dengan Ikhwan Muslimin yang diharamkan atau dibiayai oleh Qatar.

Kaherah menuduh Qatar menyokong Ikhwan, yang disingkirkan daripada kuasa di Mesir pada tahun 2013 apabila tentera menggulingkan presiden yang dipilih, Mohamed Mursi berikutan bantahan besar-besaran terhadapnya.

Hubungan antara Qatar dan Mesir terjejas teruk selepas kejatuhan Mursi. Doha mengalu-alukan beberapa tokoh kanan Ikhwan, walaupun Qatar telah meminta beberapa daripadanya meninggalkan negara itu.

Mada Masr, lamanweb berita Mesir yang berpangkalan di negara itu, juga tidak boleh diakses.

Wartawan di Mada Masr berkata buat masa ini, lamanweb itu menerbitkan artikel di Facebook. Ia masih boleh diakses di luar Mesir atau melalui proksi.

"Sekatan ini jelas menunjukkan niat pihak berkuasa untuk melumpuhkan media yang kritikal dalam cara yang memintas undang-undang," kata ketua pengarang Mada Masr, Lina Attalah kepada Reuters hari ini.

Lamanweb itu didaftarkan di Mesir dan wartawannya berpejabat di negara itu, katanya. Tiada seorang pun dari pihak kerajaan yang menghubungi pihak pengurusan sebelum atau selepas 21 lamanweb itu tidak dapat diakses.

Suasana ketakutan

Dua lagi lamanweb tempatan, termasuk milik sebuah akhbar cetak yang berdaftar dengan pihak berkuasa, juga tidak dapat diakses, begitu juga dengan beberapa lamanweb yang dikaitkan dengan Ikhwan dan yang fokus terhadap Mesir yang disiarkan dari luar negara.

Lamanweb bahasa Arab Huffington Post juga tidak boleh diakses, walaupun versi antarabangsanya boleh diakses.

Agensi berita kerajaan, Mena, memetik satu sumber kanan keselamatan sebagai berkata bahawa lamanweb itu telah disekat kerana mereka menyokong keganasan dan kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang.

"Satu sumber kanan keselamatan berkata, 21 lamanweb telah disekat di Mesir kerana mempunyai kandungan yang menyokong keganasan dan ekstremisme serta menyiarkan pembohongan," kata Mena.

Mahmoud Kamel, yang menganggotai lembaga kesatuan akhbar rasmi Mesir, berkata ia jelas satu serangan terhadap kebebasan bersuara.

"Tindakan itu tidak boleh diterima. Kami menentang segala sekatan terhadap lamanweb berita," katanya kepada Reuters sambil menambah bahawa ia adalah sebahagian daripada iklim ketakutan yang dialami di Mesir. [Baca berita penuh]

- Reuters
 

Lihat Komen
ADS