Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Umno tak terkejut parti ‘golongan kecewa' mula retak
Diterbitkan:  May 26, 2017 3:57 PM
Dikemaskini: 8:07 AM

Ahli Parlimen Sekijang Anuar Manap tidak terkejut dengan masalah yang melanda Parti Pribumi Malaysia Bersatu (BERSATU) kerana menurutnya, parti yang terhasil dari golongan kecewa selalunya akan berakhir dengan kekecewaan.

“Semua pemimpin BERSATU ini termasuk ahli-ahlinya adalah terdiri dari golongan kecewa.

“Justeru bila mereka yang kecewa ini tidak dapat sesuatu yang mereka harapkan maka berlakulah pelbagai kemelut dan keretakan,” katanya yang dipetik oleh portal Umno Online.

Malah, katanya, BERSATU bukan sahaja parti golongan kecewa tetapi juga sebuah parti yang tidak tahu hujung pangkalnya dari sudut kepimpinan.

“Lebih parah lagi ramai yang keliru dan tidak pasti siapa sebenarnya yang memimpin dan mempunyai kata pemutus dalam parti tersebut.

“Adakalanya terlihat seperti (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) yang menguasai segalanya tetapi pada suatu ketika Tan Sri Muhyiddin (Yassin) cuba bertindak sebagai ketua.

“Namun pada suatu masa yang lain (Datuk Seri) Mukhriz (Mahathir) seperti menjadi jurubicara parti. Inilah yang dikatakan seperti parti yang tak tahu hujung pangkal”, katanya.

Anuar berkata, masalah dalam BERSATU hari ini berkait rapat dengan sejarah kelahiran parti serpihan Umno itu sendiri yang jelas tidak mempunyai dasar serta landasan perjuangan yang sebenarnya untuk rakyat.

“Tidak pelik dengan perkembangan terkini hari ini. Kalau daripada awal lagi tidak berpaksikan kepada nilai perjuangan sebaliknya mempunyai kepentingan tertentu dan sebagainya, itulah harga yang perlu dibayar. Tidak perlu melangkah jauh untuk membuat penilaian.

“Kepada rakyat lihatlah apa yang berlaku di depan mata kita hari ini dan apakah kita mahu menyerahkan kepercayaan kepada mereka yang terumbang-ambing di dalam parti sendiri?” soalnya.

Pada 3 Mei lalu, Ketua Srikandi Bahagian Batu Gajah, Zulaiha Sidiq melepaskan jawatan atas alasan kecewa dengan masalah dalaman parti.

Pada 20 Mei pula, Ketua BERSATU Ipoh Timur, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar menggesa Muhyiddin untuk meletakkan jawatan sebagai presiden parti.

Beliau dilaporkan sebagai berkata bahawa sebilangan besar daripada 24 bahagian BERSATU di Perak merasakan bahawa Muhyiddin bertanggungjawab terhadap semua kepincangan dalam parti, baik di peringkat negeri mahupun kebangsaan.

Menurut beliau, ini adalah kerana Muhyiddin tidak pernah ikhlas kepada Mahathir dan penyokong BERSATU.

Susulan itu, Mahathir mempertahankan Muhyiddin dan menuduh mereka yang memberontak itu berjuang untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Lihat Komen
ADS