Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kenapa dulu SPR sediakan draf daftar pemilih?'

Mengapa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan salinan draf daftar pemilih pada masa lalu, jika ia tidak dikehendaki oleh undang-undang untuk berbuat demikian?

Ini adalah soalan yang dibangkitkan oleh ahli Parlimen AMANAH, yang juga seorang peguam, Hanipa Maidin, dalam reaksinya terhadap justifikasi SPR untuk berhenti menyediakan draf daftar pemilih kepada parti politik.

"Jika pendirian anda adalah bahawa anda tidak dikehendaki oleh undang-undang untuk menyediakannya, maka mengapa anda berbuat demikian sebelum ini?" tanya Hanipa.

Beliau juga menegaskan bagaimana ia telah menjadi konvensyen bagi SPR untuk menyediakan draf daftar pemilih.

Katanya, jika undang-undang senyap mengenai hak bagi mereka untuk mendapatkan draf daftar pemilih dari SPR, maka begitu jugalah mengenai larangan bagi SPR untuk berbuat demikian.

Sementara itu, memetik Perkara 114 (2) Perlembagaan Persekutuan, Hanipa menegaskan bagaimana anggota SPR mesti menikmati keyakinan orang ramai yang termasuk menjalankan pilihan raya yang bebas dan adil.

"SPR mempunyai tanggungjawab perlembagaan untuk menjalankan pilihan raya yang bebas dan adil. Memberi draf daftar pemilih kepada parti politik untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya adalah sebahagian daripada pilihan raya yang bebas dan adil.

"Jika anda mahu menikmati keyakinan orang ramai, anda bukan sahaja perlu mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil, anda perlu dilihat menjalankan pilihan raya yang bebas dan adil," katanya.

Menurut Hanipa, perlembagaan oleh itu memberi mandat kepada SPR untuk menyediakan draf daftar pemilih kerana ia adalah satu-satunya cara untuk mencabarnya. Seksyen 9A Akta Pilihan Raya menyatakan bahawa daftar pemilih itu tidak boleh dicabar sebaik sahaja ia diwartakan.

"Anda mempunyai daftar pemilih, jika anda menolak untuk berkongsi dengan pihak-pihak yang berkepentingan, ini adalah sama seperti menjalankan satu pilihan raya yang tidak adil," katanya.

Peguam Andrew Khoo juga mempersoalkan mengapa SPR telah berhenti menyediakan draf daftar pemilih apabila ia telah berbuat demikian pada masa lalu.

"Lebih banyak maklumat adalah lebih baik daripada maklumat yang kurang.

"Jika dilihat pada amalan terdahulu di mana mereka boleh memberi salinan kepada parti politik, maka saya tidak nampak mengapa, demi kepentingan ketelusan, mereka kini mengatakan mereka tidak diwajibkan di segi undang-undang untuk berbuat demikian," katanya.

Sebaliknya, pengerusi bersama jawatankuasa hak asasi manusia Majlis Peguam, Firdaus Husni mengakui bahawa undang-undang tidak mengkehendaki SPR menyediakan salinan draf daftar pemilih.

Beliau memetik Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 yang memperuntukkan bahawa satu semakan daftar pemilih dibuka untuk diperiksa pada waktu tertentu di pejabat pendaftar dan tempat-tempat yang ditentukan.

"Jadi ya, undang-undang tidak secara nyata menyebut bahawa salinan itu perlu disediakan.

"Walau apa pun, untuk memastikan pilihan raya yang bebas dan adil, ia adalah amalan yang baik untuk membolehkan akses kepada orang awam untuk memperoleh keyakinan orang ramai dan mengekalkan integriti dalam proses pilihan raya khususnya mengenai daftar pemilih," katanya.

Sementara itu, bekas Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memberitahu Malaysiakini bahawa SPR adalah "betul" dalam menyatakan bahawa ia tidak diperlukan untuk menyediakan salinan draf tersebut.

Seorang pakar undang-undang mengenai undang-undang pilihan raya yang enggan namanya disiarkan bersetuju dengan menekankan tiada apa-apa di bawah peraturan pilihan raya atau undang-undang yang memerlukan SPR untuk menyediakan salinan draf daftar pemilih.

"Hanya ada peruntukan bagi SPR untuk menyediakan yang telah diwartakan."

Beliau juga berhujah bahawa hanya mereka yang terjejas daripada kesilapan yang terkandung dalam draf daftar pemilih perlu melakukan pemeriksaan.

"Jadi mengapa parti-parti politik membuat bising? Mereka tidak 'privy' kepadanya."

Dalam reaksinya kepada Hanipa dan Khoo, yang membangkitkan amalan sebelum ini yang menyediakan draf daftar pemilih, beliau berkata ini dilakukan untuk membantu parti-parti politik kerana mereka telah bertindak sebagai penolong pendaftar SPR dalam mendaftar pengundi.

"Parti-parti politik tidak lagi 'privy' kepadanya kerana mereka telah ditamatkan daripada membantu SPR dalam menjalankan proses pendaftaran itu," jelas beliau.

Menurutnya, di bawah undang-undang pilihan raya dan apabila tidak ada peruntukan untuk isu-isu tertentu dikendalikan, maka budibicara itu adalah bagi SPR membuat keputusan, selagi ia tidak bertentangan dengan undang-undang.

Pembangkang, katanya, hanya membuat bunyi untuk "kepentingan politik dan untuk mengelirukan orang ramai".

Mengesahkan langkah SPR itu, Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh bulan lalu memetik peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya yang menyatakan bahawa draf daftar pemilih perlu dipamerkan di kawasan awam yang diwartakan selama 14 hari.

Oleh kerana pihak yang berkepentingan masih boleh melihat senarai itu, maka arahan baru itu tidak menyekat akses, katanya.

Suruhanjaya itu sebelum ini telah menyediakan draf daftar pemilih dalam format 'soft copy' kepada parti politik.

Parti-parti pembangkang telah membuat aduan bahawa langkah SPR akan menjejaskan usaha untuk meneliti senarai pengundi.

[Baca berita asal]

 

Lihat Komen
ADS