Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Penelitian lebih mendalam ke atas dokumen yang difailkan oleh bekas pembantu Donald Trump, Healy Baumgardner-Nardone, dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) baru-baru ini, telah memberi gambaran tentang hubungan kerja antara syarikatnya dan kerajaan Malaysia.

Ia menunjukkan bahawa Godfrey Group yang tidak begitu dikenali, sepatutnya mengarahkan aktiviti syarikatnya 45 Group LLC, dalam meningkatkan hubungan Amerika-Malaysia, manakala kerajaan Malaysia akan memainkan peranan sebagai perunding.

Baumgardner-Nardone diperlukan oleh undang-undang Amerika untuk mengisytiharkan bentuk perjanjian antara syarikatnya dengan sebarang kepentingan asing.

Sebagai sebahagian daripada kenyataan pendaftaran yang difailkan dengan DOJ, dia menyatakan bahawa "manakala aktiviti pendaftar adalah untuk menyokong mengukuhkan hubungan antara AS dan Republic of Malaysia [sic], prinsipal asing (Republic of Malaysia) tidak menyelia, mengawal, atau membiayai usaha itu.

"The Godfrey Group Ltd mengarahkan semua aktiviti. Bagaimanapun, pegawai kerajaan Malaysia akan dirunding dan terlibat dalam usaha 'outreach' di AS."

Godfrey Group digambarkan dalam pemfailan DOJ sebagai sebuah syarikat yang diperbadankan di Kepulauan British Virgin, tetapi dengan sebuah pejabat berdaftar dan nombor telefon yang sama dengan sebuah badan amal yang berpusat di Johor Bahru.

Malaysiakini telah cuba untuk menghubungi badan amal yang berpangkalan di Johor Bahru untuk mendapatkan komen sejak semalam dan sedang menunggu jawapan.

Dalam dokumen itu, ia telah menunjukkan bahawa Godfrey Group bersetuju membayar 45 Group AS$25,000 sebulan dalam pertukaran bagi bantuan 45 Group dalam "memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat".

45 Group juga mengisytiharkan menerima AS$250,000 daripada Godfrey Group pada 9 Mei.

Anggota parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendakwa minggu lepas bahawa Malaysia melantik perkhidmatan melobi Baumgardner-Nardone, walaupun Pejabat Perdana Menteri menafikan sebarang kaitan dengannya45 Group Godfrey Group.

Baumgardner-Nardone mengisytiharkan dalam pemfailan DOJ bahawa dia bertindak bagi pihak "Pejabat Perdana Menteri", dan menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai pegawai utama syarikat itu berurusan. Alamat Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya juga turut disenaraikan.

Berikut penafian Putrajaya terhadap dakwaan itu, Rafizi mencabar kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap Baumgardner-Nardone jika dakwaan wanita itu yang dia bertindak bagi pihak Malaysia, adalah palsu.

Siapa miliki 45 Group

Satu lagi set dokumen dalam rekod DOJ menyatakan tentang penubuhan 45 Group.

Ia menunjukkan bahawa 45 Group adalah salah satu daripada dua DBAs ('doing business as' sama dengan satu cap dagang) milik firma perhubungan awam Baumgardner-Nardone, Mona Lisa Communications LLC. Satu lagi DBA adalah Litigation War Room.

Mona Lisa Komunikasi LCC mendaftarkan 45 Group sebagai DBA di West Virginia pada 12 Januari tahun ini, manakala Litigation War Room didaftarkan pada 26 april 2013, demikian menurut dokumen tersebut.

Litigation War Room dilaporkan sebagai sebuah syarikat perhubungan awam yang pakar dalam tindakan perundangan 'mass-tort'.

Alamat 45 Group dalam perjanjian dengan Godfrey Group sama dengan sebuah firma guaman di West Virginia, yang menurut dokumen lain difailkan Baumgardner-Nardone, telah membantu menubuhkan kumpulan itu. Bagaimanapun, nombor telefon yang disenaraikan dalam perjanjian itu adalah untuk tempat yang berbeza.

Kesilapan dalam dokumen

Walaupun pemfailan yang formal DOJ, terdapat kesilapan fakta dan percanggahan dalam dokumen-dokumen berkenaan.

Borang-borang yang dikemukakan oleh Baumgardner-Nardone berulang kali merujuk kepada Malaysia sebagai "The Republic of Malaysia", yang bercanggah dengan hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan. Mengikut definisi, republik adalah satu bentuk kerajaan yang ketua negaranya bukan raja.

Dalam apa yang nampaknya satu kesilapan tipografi, dia juga memberikan alamat bagi Godfrey Group yang berbeza daripada yang disebut dalam perjanjian antara Godfrey Group dan The 45 Group.

Dua alamat itu berbeza dalam satu digit dalam nombor lot dua digit alamat di Johor Bahru.

Pemfailan dengan DOJ adalah wajib bawah Akta Pendaftaran Agen Asing 1938 (FARA) di AS, yang memerlukan pelobi yang bertindak bagi pihak kepentingan asing mendaftar diri mereka sendiri. Dokumen-dokumen kemudiannya boleh dikongsi kepada orang ramai.

Pemfailan Baumgardner-Nardone ini boleh didapati dengan mencari nombor pendaftaran "6432" di laman web Fara itu. Ia telah difailkan dengan DOJ pada 19 Mei tahun ini.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS