Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar cabar sabitan liwat Jumaat ini
Diterbitkan:  Jun 7, 2017 4:34 PM
Dikemaskini: 9:06 AM

Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memfailkan cabaran undang-undang terhadap sabitan dan hukuman penjara yang dikenakan ke atasnya bagi tuduhan liwat.

Berdasarkan kepada status akaun rasmi Facebook beliau, tindakan itu diambil ekoran dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membayar wang RM9.5 juta kepada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee seorang peguam kanan yang dilantik oleh kerajaan mengetuai pasukan pendakwaan ke atas Anwar di Mahkamah Rayuan pada 22 Julai 2013.

Usul Anwar itu dijangka akan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Jumaat ini.

Peguam Anwar, N Surendran, mengesahkan cabaran undang-undang itu difailkan atas alasan bayaran RM9.5 juta didakwa dibuat Najib kepada Shafee.

Portal Sarawak Report mendakwa mereka melihat dokumen yang menunjukkan Najib membayar Shafee menggunakan dana diterima daripada syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).

SRC suatu ketika dulu ialah anak syarikat kepada firma pelaburan milik negara, 1MDB.

Portal itu mendakwa Shafee menerima wang berkenaan daripada Najib melalui dua peringkat, masing-masing pada 11 September 2013 dan 17 Februari 2014.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas tuduhan Sarawak Report itu atau mengesahkan bayaran yang didakwa itu mempunyai kaitan dengan kes liwat kali kedua yang dikaitkan dengan Anwar.

Beberapa cubaan untuk mendapatkan komen daripada Shafee dan Najib juga belum berjaya setakat ini.

Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 membatalkan keputusan Makamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Anwar. Bekas timbalan perdana menteri itu kemudian dihukum penjara lima tahun.

Mahkamah Persekutuan kemudian mengesahkan sabitan itu pada 10 Februari 2015.

Sebelum ini parlimen dimaklumkan Shafee hanya dibayar RM1,000 untuk khidmatnya sebagai pegawai pendakwa bagi kes berkenaan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS