Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Zamihan bentang dakwaan 'penyelewengan' mufti Wilayah
Diterbitkan:  Jun 8, 2017 1:31 PM
Dikemaskini: 7:00 AM

Pendakwah lantang Zamihan Mat Zin terus dilanda kontroversi selepas pembentangannya kepada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menjadi tular.

Ia memaparkan sesi taklimat yang mempunyai tuduhan berat kepada Mufti Wilayah persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad.

Gambar slaid pembentangan “Penyelewengan mufti Wilayah Persekutuan dan kaitannya dengan ajaran Wahabi” itu antaranya dikongsi di Facebook oleh Ketua Biro Agama PKR Wan Ji Wan Hussin tengah malam semalam.

Wan Ji berkata, beliau difahamkan oleh “rakan-rakan” bahawa pembentangan itu dibuat semalam.

Sementara itu, Zamihan dalam Facebook semalam mengesahkan membentangkan kajian pemikiran “seorang agama tokoh tertentu” kepada MAIS pagi semalam.

'Bukti secerah mentari'

Bagaimanapun, katanya, beliau hanya membentangkan data-data daripada muzakarah beliau dengan Zulkifli pada 19 Januari lalu, yang turut dihadiri pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Mereka telah menyaksikan sendiri bahawa Sahibus Samahah Datuk Mufti WP tidak menolak satu pun data-data yang saya bentangkan di hadapan beliau sendiri waktu itu.

“Tiada siapa dapat menolak bukti secerah mentari pagi,” kata Zamihan.

“Kini data-data yang sama dan sedikit kemaskini saya bentangkan di hadapan JK Tauliah MAIS,” kata presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) itu.

Beliau bagaimanapun menuduh gambar pembentangan itu ditularkan oleh orang dalam MAIS sendiri.

“Ternyata beliau seorang yang tidak amanah dan tiada integriti yang tinggi dalam perkhidmatan,” katanya.

Zamihan juga berkata bersedia untuk menyembah mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-pertuan Agong, menteri agama, Jakim dan mufti sendiri untuk memperjelaskan “kebenaran” itu.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Zulkifli dan Mais berkaitan dakwaan itu.

Lihat Komen
ADS