Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pegawainya disyaki minta wang, SPRM sedia kerjasama dengan polis
Diterbitkan:  Jun 10, 2017 12:23 PM
Dikemaskini: 4:26 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia untuk bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan penahanan seorang pegawai SPRM kerana disyaki meminta wang dari  anggota polis.

Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan kesalahan pegawai terbabit yang dilakukan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.

"Perbuatan seumpama itu sama sekali tidak mewakili suruhanjaya yang sentiasa mendukung prinsip undang-undang dan Perlembagaan negara dalam melaksanakan setiap tanggungjawab yang diamanahkan," katanya.

Justeru, SPRM mengalu-alukan tindakan tegas pihak polis dalam melaksanakan penahanan itu dan tidak akan mencampuri siasatan yang dijalankan.

Ekoran kejadian tersebut, katanya SPRM akan melakukan pemeriksaan dalaman yang tegas terhadap semua pegawai bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa akan datang.

"Pendirian SPRM tidak akan berganjak walaupun seinci sekiranya terdapat pegawai sendiri melakukan jenayah sedemikian dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan yang mencemarkan reputasi dan nama baik SPRM," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS