Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Logo HARAPAN hampir siap, perlu sentuhan terakhir

Pakatan Harapan telah hampir menyiapkan logo rasminya dan hanya perlu kepada sedikit pengubahsuaian, kata Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok.

Kok yang juga anggota Majlis Presiden HARAPAN berkata logo itu yang sepatutnya diumum 9 Jun lalu perlu pengubahsuaian sebelum dimuktamadkan pada mesyuarat akan datang.

"Logo tu ada sedikit lagi kita minta diperbaiki. Kita dah setuju dengan satu logo, latar belakang warna tu kita dah setuju. Cuma sikit sahaja lagi dari segi perkataan jelah.

"Perkataan yang nak dimasuk tu dari segi design jelah, jadi almost done. Cuma kita tak boleh nak reveal atau umum hari tu," katanya.

Dua minggu lalu, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan logo berkenaan yang mengandungi perkataan HARAPAN akan diumumkan selepas mesyuarat Majlis Presiden pada 9 Jun.

Difahamkan, walaupun logo itu telah dibincangkan dalam mesyuarat itu, ia tidak dapat dimuktamadkan kerana mesyuarat itu lebih banyak membincangkan mengenai struktur kepimpinan gabungan itu.

Sementara itu, seorang individu yang hadir pada mesyuarat itu juga mengakui bahawa sedikit pengubahsuaian diperlukan sebelum logo itu boleh dimuktamadkan.

"Kami telah setuju pada satu logo dan warna latar belakang, hanya sedikit pengubahsuaian diperlukan dari segi grafik.

"Kami hampir selesai, cuma kami tidak dapat mengumumkannya hari itu," katanya.

Sumber itu berkata, Majlis Presiden HARAPAN telah bersetuju dengan perkataan "HARAPAN" pada logo berkenaan dan latar belakang berwarna merah.

Dijangka lepas raya

Ditanya mengapa mengambil masa yang lama untuk memutuskan logo berkenaan, sumber itu berkata ini kerana HARAPAN menerima pelbagai aduan mengenai logo dihasilkan.

"Kita nak pilih yang terbaik. Jadi bila kemukakan kepada umum kita harap kita memenuhi citarasa peminat kita," katanya.

HARAPAN menerima kritikan selepas tiga logo gabungan itu disenarai pendek di dalam talian oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bulan lepas.

Gabungan pembangkang itu kemudian menjemput penyertaan orang ramai untuk mengirimkan rekaan logo mereka dengan sekurang-kurangnya 130 cadangan telah diterima.

Sementara itu, sumber itu percaya bahawa mesyuarat akan datang akan diadakan selepas bulan puasa.

"Dah masuk minggu kedua (puasa), semua sibuk dengan agenda berbuka puasa, turun padang. Saya rasa mesyuarat akan datang akan diadakan selepas raya.

"Katalah kita mesyuarat awal July, kalau mesyuarat hari Isnin, hari Selasa kita pergilah ROS (Pendaftar Pertubuhan) untuk daftarkan (HARAPAN) sebab kita perlukan kebenaran dari ROS dahulu," katanya.

Lihat Komen
ADS