Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hubungan Putrajaya dengan Sabah, S'wak tak terjejas

Perbalahan antara Datuk Seri Nazri Aziz dengan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah tidak akan menjejaskan hubungan antara kerajaan pusat dengan Sabah dan Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata walaupun Nazri sepatutnya boleh lebih berhemah ketika menegur Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak itu, insiden berkenaan dijangka tidak akan berulang.

"Tidak sama sekali. Ia adalah perselisihan faham antara seorang abang dengan adik," kata Abdul Rahman yang juga anggota parlimen Kota Belud, Sabah.

"Dia (Nazri) akan tersenyum dan memeluk Karim suatu ketika nanti, tetapi saya tak tahu.

"Apa yang saya katakan ialah, dia agak berlebihan sedikit semasa menjelaskan isu itu kepada orang ramai.

"Saya fikir ia boleh dilakukan dengan cara yang lebih bijaksana," katanya apabila ditanya apa yang mungkin berlaku selepas ini.

Abdul Rahman yang kini diberi kepercayaan mengetuai Unit Perancangan Ekonomi bercakap kepada media selepas menghadiri pelancaran Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia separuh kedua 2017 oleh Bank Dunia di Kuala Lumpur hari ini.

Dasar cukai yang baik

Kelmarin Nazri menegur Abdul Karim sebagai menteri "setahun jagung" apabila anggota dewan undangan negeri Asajaya itu meminta pelaksanaan cukai pelancongan ditangguhkan.

Cukai itu dijadual mula dilaksanakan 1 Ogos ini.

Kenyataan itu disambut dengan pengumuman Sarawak menarik diri daripada Lembaga Pelancongan Malaysia atas alasan berlaku pertindihan tugas dengan Lembaga Penggalakan Pelancongan Sarawak.

Nazri sebaliknya menyambut baik langkah itu dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana ia bersesuaian dengan dasar Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menutup pejabat Lembaga Pelancongan Malaysia sejak awal tahun ini.

Anggota parlimen Padang Rengas itu juga sempat menempelak Ketua Pemuda BN Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof, apabila menyatakan rasa kurang senangnya terhadap kenyataan Nazri.

Sementara itu Abdul Rahman berpendapat, cukai pelancongan adalah suatu dasar yang baik kerana ia memperluaskan asas percukaian Malaysia, selain menggalakkan industri pelancongan ketika peruntukan sektor itu dipotong.

"Saya secara peribadi dan sebagai menteri berkaitan ekonomi percaya, ia adalah percukaian yang baik dan tidak begitu membebankan.

"Kadarnya sangat kecil dan saya fikir kementerian bersedia berkongsi dengan kerajaan negeri dalam bentuk lebih banyak pengagihan.

"Saya percaya cukai ini tidak akan dimasukkan ke akaun yang disatukan, sebaliknya digunakan terus oleh Kementerian Pelancongan," katanya.

Cukai pelancongan dikuatkuasakan selepas rang undang-undang mengenainya diluluskan di parlimen pada sidang yang baru lalu.

Kadar cukai berkenaan ialah:

  • RM20 untuk hotel bertaraf lima bintang
  • RM10 untuk hotel bertaraf empat bintang
  • RM5 untuk hotel bertaraf satu hingga tiga bintang
  • RM2.50 untuk hotel bertaraf satu hingga tiga orkid serta yang tidak ditarafkan

Pelaksanaan cukai pelancongan akan memberi kesan secara langsung kepada pelancong apabila mereka perlu membayar lebih - sehingga RM20 untuk satu malam - bagi sebuah bilik hotel di seluruh negara.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS