Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengakui bahawa suspek utama berhubung kes menerima rasuah bagi melindungi pusat judi haram dan rumah urut di sekitar Melaka adalah kenalannya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan yang dibuat oleh Sarawak Report bahawa suspek berkenaan, Gopinathan Krishnan, 50 berhubungan terus dengannya menerusi telefon.

"Ya, saya kenalinya dan beliu juga dikenali oleh keluarga saya," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Ditanya lagi sama ada Gopinathan adalah kawan keluarganya, Khalid berkata dirinya telahpun bahawa lelaki itu dikenali keluarganya.

“Pasal apa awak nak soal sampai begitu.

“Saya dah akui dia dikenali oleh keluarga saya, dah la, awak nak tanya berapa rapat pula?

“Boleh pegang tangan, boleh bercium, munasabah sikit la,” katanya selepas melancarkan majlis pelancaran Op Selamat 11 di Menara TM, di Kuala Lumpur.

Bulan lalu, seramai 12 suspek, sebahagian besar daripada mereka anggota dan pegawai polis, ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu serbuan yang diberi nama ‘Ops Gopi’.

Sarawak Report mendakwa Gopinathan adalah dalang berhubung kes menerima rasuah bagi melindungi pusat judi haram dan rumah urut di sekitar Melaka.

Portal itu turut mengaitkan Khalid, anak lelaki serta abang iparnya dengan Gopinathan.

Lelaki itu kemudiannya direman bersama lima yang lain pada 22 Mei lalu dan masih dalam tahanan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Khalid pada sidang media hari ini bagaimanapun menegaskan bahawa mereka yang mengenali dirinya dan juga ahli keluarganya yang melakukan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang tidak akan terlepas daripada hukuman.

“Dalam kes ini, Gopi jika dia melakukan sebarang perkara haram, dalam kes ini SPRM sedang menyiasat.

“Saya tidak akan bersekongkol. Saya dan pegawai-pegawai saya (akan) memberi kerjasama penuh dalam siasatan ini.

“Orang yang mengenali saya, ahli keluarga saya, jika mereka melakukan apa juga perkara di belakang saya, tak mungkin saya dapat tahu semuanya. Tetapi mereka perlu bertanggungjawab,” katanya.

Lihat Komen
ADS