Van rempuh orang ramai berhampiran masjid

       

GLOBAL l Beberapa pejalan kaki dilaporkan cedera di utara London awal Isnin ini selepas dirempuh oleh sebuah kenderaan, kata polis British.

Reuters yang memetik polis berkata, mereka dimaklumkan pada jam 12:20 pagi waktu tempatan mengenai kemalangan di Jalan Seven Sisters, yang terletak di kawasan Finsbury Park di London.

Akhbar The Sun berkata van berkenaan merempuh orang ramai berhampiran masjid di Finsbury Park.

"Terdapat beberapa mangsa yang cedera," kata polis.

"Seorang lelaki ditangkap."

Seorang saksi memberitahu beliau melihat sekurang-kurangnya seorang mangsa dimasukkan ke sebuah ambulans. Terdapat kehadiran polis dan ambulans di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Majlis Islam Britain (MCB), Harun Khan dalam Twitter berkata van itu 'sengaja' merempuh jemaah yang baru keluar masjid selepas menunaikan solat Tarawih.

"Kami dimaklumkan sebuah van merempuh jemaah ketika mereka meninggalkan Masjid Finsbury Park. Kami mendoakan mangsa."

Masjid itu debelum ini didakwa pernah dikenali sebagai hab radikal Islam tetapi dilaporkan sudah berubah di bawah pengurusan baru.

Dalam perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan seorang terbunuh dan 10 yang lain cedera dalam kejadian di utara London itu.

Polis mengklasifikasikan insiden berkenaan sebagai "disyaki kegiatan pengganas"

Pemandu van ditahan polis dan dihantar ke hospital untuk menjalani rawatan serta penilaian tahap kesihatan mental.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda