Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Artis Hollywood lebih bertanggungjawab daripada menteri Malaysia’
Diterbitkan:  Jun 19, 2017 10:40 AM
Dikemaskini: 2:47 AM

Usaha beberapa menteri kabinet cuba mempertikaikan tindakan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berhubung saman sivil membabitkan 1MDB menunjukkan bahawa pelakon Hollywood lebih memandang serius perkara itu, kata seorang wakil rakyat PKR.

ADUN Hutan Melintang, S Kesavan berkata, ini dapat dilihat apabila bintang Hollywood, Leonardo DiCaprio sanggup menyerahkan hadiah jutaan dolar yang diterima daripada individu yang didakwa menyelewengkan dana 1MDB, setelah mereka disenaraikan dalam tuntutan mahkamah oleh DOJ.

DOJ Khamis lalu memfailkan saman ketiga dalam kes itu, dan kali ini menyenaraikan lebih banyak aset yang didakwa dibeli oleh tokoh perniagaan kelahiran Pulau Pinang Jho Low, sekutunya yang juga adalah anak tiri perdana menteri, Riza Aziz.

Ia termasuk patung Oscar, Marlon Brando, lukisan Diane Arbus bertajuk "Boy With Toy Hand Grenade" dan lukisan oleh Pablo Picasso dan Jean-Michel Basquiat, yang semuanya dihadiahkan kepada DiCaprio.

DiCaprio, yang membintangi filem "The Wolf of Wall Street" yang diterbitkan oleh Riza melalui Red Granite Pictures yang didakwa menggunakan wang yang dicuri daripada 1MDB, menyerahkan patung Oscar dan lukisan berkenaan susulan saman DOJ itu.

“Tindakan DiCaprio sememangnya perkara yang boleh dipuji kerana beliau jelas tidak mahu terlibat langsung dalam penggubahan wang haram dan 1MDB.

“Beliau juga menyatakan akan memberikan kerjasama kepada siasatan itu dan akan kembalikan semula sebarang hadiah atau sumbangan jika ianya berpunca daripada sumber yang dipersoalkan.

“Sebaliknya di Malaysia, seperti tiada sesiapa yang terlibat dan tidak tahu apa yang berlaku, sedangkan 1MDB itu adalah syarikat Malaysia, duit dari Malaysia dan yang disiasat itu individu dari Malaysia sendiri," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Dahlan mencabar DOJ melakukan pendakwaan jika benar agensi penguat kuasa AS itu memiliki bukti berkaitan dana 1MDB.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak pula mendakwa tindakan itu sebagai campur tangan asing ke atas kedaulatan negara.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, pula membidas DOJ dan menganggap tindakan itu sebagai satu "sindiran" terhadap perdana menteri.

Sedangkan katanya, Datuk Seri Najib Razak tidak melakukan sebarang kesilapan jenayah apabila beliau langsung tidak dinamakan dalam tuntutan mahkamah berkenaan.

Saman itu hanya merujuk kepada "Malaysian Official 1" yang menurut Abdul Rahman pada tahun lalu adalah Najib.

MO1 didakwa menerima dana daripada sekutu Low, yang berasal dari 1MDB, dan dikembalikan sebahagian daripadanya.

Low juda didakwa membeli loket berlian dan rantai bernilai AS$ 27 juta dengan dana yang dicuri itu yang diberikan kepada isteri MO1.

Jumlah yang diterima dan dikembalikan oleh MO1 sepadan dengan dana yang diterima oleh Najib yang didakwa sebagai sebahagian daripada sumbangan politik daripada seorang putera Arab Saudi.

Ketika membersihkan Najib tahun lalu, Apandi berkata AS$ 602 juta telah dikembalikan kepada keluarga diraja Arab Saudi itu.

Mengulas lanjut, Kesavan berkata, jika di Singapura, pegawai bank telah diambil tindakan, ditangkap dan bank ditutup tetapi amat pelik, di Malaysia, peguam negara kata tiada kes.

“Bagaimana ini boleh berlaku, orang luar nampaknya lebih bertanggungjawab dengan skandal 1MDB ini?

“Dapat dilihat 'orang luar' dengan rela hati membersihkan nama mereka dengan jujur tetapi orang Malaysia (para menteri) pula bermati-matian mempertahankan MO1 kerana jawatan yang diraih.

“Kini jelas Malaysia semakin popular di mata dunia namun ia sesuatu yang memalukan kerana dikenali disebabkan perkara negatif dan memburukkan nama negara,” kata Kesavan.

Lihat Komen
ADS