TUDM nafi dakwaan pesawat Hawk 108 bermasalah

   

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menafikan khabar angin yang tular mendakwa pesawat Hawk 108 yang terhempas di Chukai, Kemaman, Terengganu, Khamis lalu, diketahui bermasalah.

Markas Tentera Udara dalam kenyataan hari ini berkata pesawat itu telah melalui proses penerbangan pemeriksaan pasca senggaraan dua hari sebelum kejadian nahas tersebut.

"TUDM tidak akan berkompromi tentang keselamatan dan 'airworthiness' (layak terbang) pesawat serta sentiasa menekankan tahap tertinggi dalam penyelenggaraan pesawat di bawah kawalan TUDM," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, TUDM telah menemui beberapa serpihan pesawat Hawk 108 termasuk kedua-dua kerusi anjal dalam operasi berhampiran Kampung Yak Yah, Chukai.

Katanya, operasi mencari serpihan pesawat selebihnya akan diteruskan dalam usaha TUDM untuk melengkapkan siasatan bagi menentukan punca kejadian.

Kenyataan itu turut menyebut, pasukan TUDM mengalami kesukaran dalam operasi terbabit berikutan keadaan muka bumi dan tanah yang lembut serta berpaya di tapak kejadian.

Bagaimanapun, TUDM telah mendapatkan bantuan daripada beberapa agensi bagi melancarkan usaha pencarian dan pengumpulan serpihan termasuk Tentera Darat Malaysia, Rejimen Askar Jurutera Diraja, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE).

Tragedi pesawat terhempas pada Khamis lepas mengorbankan dua juruterbang TUDM, Mejar Hasri Zahari, 31, dan Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39.

Pesawat malang berkenaan berlepas dari Pangkalan Udara Kuantan pada jam 11 pagi hari tersebut dan terputus hubungan setengah jam kemudian sebelum mayat kedua-dua mangsa ditemui pada jam 2.30 petang di hutan paya kampung berkenaan.

 

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda