Senator Umno cabar DOJ dedah identiti pengadu

   

Senator Dewan Negara, Datuk Fahariyah Md Nordin mencabar Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat mendedahkan identiti sebenar pengadunya.

"Malaysia tidak perlukan campur tangan asing termasuk DOJ dalam mengurus tadbir negara ini kerana Malaysia mengamalkan dasar menghormati prinsip dan Perlembagaan mana-mana negara.

“Ini kerana Malaysia melalui Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) sudahpun menjalankan siasatan terperinci dan tidak menemui sebarang bukti dana diseleweng 1MDB sepertimana didakwa DOJ.

“Kenyataan menghasut dari DOJ ini terus dikeluarkan tanpa asas dan bukti yang kukuh bagi mempengaruhi orang ramai khsusnya rakyat yang mudah mempercayai sesuatu tanpa diselidik terlebih dahulu," jelas beliau, memetik laporan Umno Online.

Fahariyah merupakan penolong setiausaha Pergerakan Puteri Umno.

Sebelum ini, Bendahari Agung MIC Datuk Seri S Vell Paari berkata, dakwaan terbaru oleh DOJ merupakan satu lagi konspirasi pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi.

"Bukan lagi rahsia bahawa pembangkang mengusahakan siasatan oleh DOJ Amerika Syarikat terhadap 1MDB apabila mereka menghantar konco mereka untuk membuat laporan di Amerika Syarikat. Tanpa aduan itu, tidak akan ada penyiasatan ke atas 1MDB oleh DOJ.

"Malah pada ketika itu dan sehingga hari ini tiada sesiapa daripada 1MDB telah dipanggil oleh DOJ untuk memberikan keterangan, bukti atau disoal. Ini jelas menunjukkan DOJ tidak mempunyai kes terhadap 1MDB," kata Vell Paari lagi.

Mengulas lanjut, Fahariyah berkata, individu yang membuat laporan kepada DOJ
berkaitan 1MDB sebenarnya seorang penghasut yang mempunyai niat jahat untuk menganggu-gugat pentadbiran negara.

“Bagi saya ini adalah sikap terdesak pihak tertentu yang amat desperado bagi merosakkan imej kepimpinan negara.

“Mereka sudah tidak ada isu maka isu lama dikitar semula untuk mengalih perhatian rakyat,” ujarnya lagi.

Reputasi DOJ sebenarnya semakin terjejas dan menjadi bahan jenaka di persada dunia kerana dakwaan tidak berasaskan fakta dan tidak dibuktikan di mahkamah terlebih dahulu, tambahnya.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda