Jakim tak setuju diskriminasi, buli LGBT

   

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan tidak pernah bersetuju dengan sebarang unsur diskriminasi dan buli terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).

Menurut Ketua Pengarahnya, Tan Sri Othman Mustapha, sikap seperti mengutuk, menghina atau mengambil kesempatan ke atas komuniti berkenaan bukan satu sikap yang baik.

"Untuk masyarakat, sikap melabel, mengutuk, menghina dan mengeji serta mengambil kesempatan ke atas komuniti (LGBT) bukanlah sikap yang baik bahkan ia boleh dianggap ekstrem dan melampaui batas.

"Sikap seperti ini adalah bercanggah dengan semangat kemasyarakatan yang mengutamakan pendekatan nasihat dan menasihati serta berpesan untuk mengikuti kebenaran yang bersandarkan neraca agama.

"Jakim juga bersikap objektif dengan tidak menaruh prejudis atau menghukum pada komuniti (LGBT) bahkan mengajak sesiapa di kalangan komuniti yang mahu memperbaiki kehidupannya menyertai mana-mana program dan ruang yang telah kami sediakan," kata Othman dalam kenyataannya.

Othman berkata, sejak 2011, Jakim sentiasa berusaha mendekati komuniti LGBT dengan menganjurkan pelbagai program antaranya program Mukhayyam, usrah, kelas pengajian al-Quran serta majlis berbuka puasa.

Program tersebut antaranya bertujuan mendekatkan komuniti itu dengan masyarakat serta golongan agamawan bagi mengurangkan stigma terhadap golongan terbabit.

"Namun ia bukanlah ruang untuk memperjuangkan hak yang tidak selari dengan syariat tetapi untuk kembali menepati kehendak agama," jelas Othman.

Othman turut menyenaraikan tiga golongan LGBT di negara ini iaitu yang telah berubah dan perlukan sokongan, golongan yang masih bermujahadah (berperang melawan nafsu) serta golongan yang teguh menyokong perlakuan LGBT.

"Mereka perlu terus dibimbing, bukan dihukum, diterang dan bukannya diserang.

"Manakala kelompok ketiga yang dilihat teguh menyokong perlakuan LGBT, perlu dihadapi dengan hujah dan perbahasan yang matang dan rasional untuk mengingatkan mereka bahawa kita tidak berkompromi dengan sesuatu perlakuan yang boleh meruntuhkan peradaban manusia," ujar Othman.

Jakim turut mengingatkan hak kebebasan dan kesamarataan dalam isu LGBT hanyalah kosmetik semata-mata kerana ia hanya nampak cantik di luar tetapi rosak di dalam.

"Ia tidak menyelesaikan masalah sebenar yang melibatkan penyimpangan tabii golongan LGBT. Perkara yang lebih utama adalah tuntutan kehidupan yang berteraskan syariat Islam dan ini selari dengan semangat Perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan," katanya lagi.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda