Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
M'sia sasar kurangkan jumlah perokok
Diterbitkan:  Jun 21, 2017 6:00 AM
Dikemaskini: 10:04 PM

Malaysia menyasarkan untuk mengurangkan jumlah perokok kepada 15 peratus menjelang 2025 dan kepada kurang lima peratus pada 2045, sejajar sasaran menjadikan negara bebas asap rokok.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata bagi mencapai matlamat itu, Kementerian Kesihatan menggiatkan usaha pemerkasaan dan promosi kesihatan secara menyeluruh bagi membantu golongan perokok menghentikan tabiat tidak sihat itu.

Katanya kerajaan melakukan pelbagai inisiatif seperti menaikkan cukai eksais rokok, meletakkan amaran kesihatan bergambar pada kotak rokok dan larangan merokok di hampir kesemua tempat awam untuk memerangi tabiat buruk itu .

"Kita harapkan supaya rakyat mengambil serius mesej yang dibawa kerajaan dalam memerangi rokok dan bekerjasama bersama kita dalam melahirkan negara bebas rokok," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2017 di ibunegara semalam.

Hari Tanpa Tembakau Sedunia disambut pada setiap 31 Mei di seluruh dunia bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dalam isu produk tembakau yang memudaratkan kesihatan.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kesihatan Kebangsaan 2015 menunjukkan bahawa 22.8 peratus yang bersamaan lima juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas adalah perokok, dengan majoritinya adalah lelaki iaitu 43 peratus merupakan kumpulan masih produktif dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Subramaniam berkata negara perlu membelanjakan RM2.92 bilion setahun bagi kos merawat penyakit-penyakit berkaitan yang disebabkan amalan merokok.

Secara purata, rakyat Malaysia membelanjakan RM178 sebulan bagi tujuan merokok.

"Bayangkan betapa banyak peluang keemasan untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan keluarga jika dibandingkan dengan perbelanjaan untuk membeli rokok," katanya.

Subramaniam berkata penyertaan dan kerjasama yang lebih luas antara sektor awam, swasta, bukan kerajaan serta masyarakat amat penting dalam memastikan pelaksanaan kawalan tembakau yang berkesan di seluruh negara.

- Bernama

Lihat Komen
ADS