Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azhar nafi ganti Zakaria sebagai CEO FGV
Diterbitkan:  Jun 21, 2017 12:55 PM
Dikemaskini: 6:14 AM

KEMASKINI Datuk Wira Azhar Abdul Hamid menafikan khabar angin bahawa beliau akan menggantikan Datuk Zakaria Arshad sebagai ketua pegawai eksekutif Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

Bagaimanapun, Azhar berkata beliau akan mempertimbangkan perkara berkenaan sekiranya diminta membantu syarikat bermasalah itu.

"Jika saya diminta untuk membantu, sudah tentu saya akan pertimbangkan kerana kebimbangan Felda dan penerokanya," katanya ketika dihubungi oleh NST Business hari ini.

Terdahulu, Zakaria dilaporkan akan digantikan selepas Tan Sri Mohd Isa Samad meninggalkan anak syarikat Felda itu, Isnin lalu selaku presiden dan pengerusi FGV.

Menurut laporan The Edge Financial Daily, Azhar yang semalam meletakkan jawatan sebagai pengarah urusan Malakoff Corporation Bhd, dijangka menggantikan Zakaria.

Azhar hanya berkhidmat di Malakoff selama lebih sebulan sebelum diantik ke jawatan baru itu. Sumber akhbar itu mengatakan bahawa Azhar memiliki latar belakang dalam sektor perladangan dan sesuai menggalas tugas tersebut.

"Kerajaan sedang mencari individu yang bebas, berkebolehan dan memiliki pengetahuan mendalam di sektor perladangan untuk memimpin FGV dan Azhar nampaknya sesuai," sumber itu dipetik berkata.

Azhar sebelum ini mengetuai pembangunan perniagaan di Sime Darby Plantation Sdn Bhd dan menjadi pengarah urusan syarikat itu serta bertindak sebagai presiden dan ketua pegawai eksekutif Kumpulan Sime Darby sehingga Ogos 2010.

Beliau adalah ketua pegawai eksekutif MRT Corp dari tahun 2011 hingga 2014.

FGV menghadapi krisis dalaman apabila ahli lembaga pengarahnya, di bawah Isa, menggantung Zakaria dan tiga eksekutif lain, selepas menuduh mereka melanggar peraturan tadbir urus korporat.

Zakaria menyalahkan anggota lembaga itu dan mengatakan beliau cuba menghentikan pelaburan berjuta ringgit dan tidak masuk akal dalam perniagaan bukan teras. Kedua-dua pihak menafikan tuduhan itu.

Berikutan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak campur tangan dengan melantik bekas menteri Datuk Seri Idris Jala menyediakan laporan berhubung kemelut FGV. Selepas Idris menyelesaikan laporannya, Mohd Isa mengumumkan peletakan jawatan.

Isa menyatakan alasan peribadi untuk meletakkan jawatannya, namun langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada pelan penyelesaian oleh Najib.  

Pengerusi Telekom Malaysia Bhd, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, kemudian dilantik sebagai pemangku pengerusi FGV.

Najib kemudian melantik Isa sebagai pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad).

Perdana Menteri juga mengumumkan bahawa tindakan tatatertib terhadap Zakaria dan eksekutif lain akan diteruskan, di mana mereka akan dibenarkan mempertahankan diri.

Zakaria melantik peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai peguam penasihat, bagi berdepan siasatan terhadapnya.

Lihat Komen
ADS