Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Terapi Urutan Malaysia kini produk pelancongan
Diterbitkan:  Jun 26, 2017 11:15 AM
Dikemaskini: 3:21 AM

Rakyat Malaysia yang selama ini disaji dengan terapi dari negara luar seperti urutan Thai dan Bali kini mempunyai pilihan untuk mendapatkan terapi gaya tempatan iaitu Urutan Malaysia.

Urutan Malaysia menggabungkan teknik mengurut cara tradisional masyarakat Melayu, Cina, India, Peranakan serta Pribumi Sabah dan Sarawak itu diperkenalkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sebagai salah satu produk pelancongan negara.

Pengajar spa bertauliah Orni Yusniza Othman, 45, berkata teknik Urutan Malaysia bukan sahaja memberi manfaat dalam penjagaan kesihatan dalaman dan luaran malah unik dengan kelengkapan mengurut mengikut citarasa tempatan.

"Minyak untuk mengurut yang digunakan adalah daripada minyak kelapa yang dicampurkan dengan rempah ratus seperti halia, kunyit hidup, serai, lengkuas, pandan, kayu manis, ketumbar, kayu merah dan lada.

"Urutan Malaysia ini boleh membantu melancarkan peredaran darah dan sistem limfatik, meningkatkan tahap kecerdasan tubuh badan dan mengurangkan perasaan gelisah serta tekanan," katanya kepada Bernama.

Orni, yang mempunyai 20 tahun pengalaman dalam industri spa, berkata Urutan Malaysia juga dapat mengurangkan kesakitan sendi dan otot, membantu mendapatkan tidur yang lena serta meremajakan tubuh badan.

Tenaga pengajar Urutan Malaysia, Halene Hong, 39, dari Pulau Pinang berkata beliau teruja dengan produk baharu itu dan akan mempromosikannya kepada penggiat industri spa di Malaysia dan luar negara.

"Dalam Urutan Malaysia, bagi elemen Cina, kita guna 'tui na', kaedah memicit dan tarik yang luas digunakan dalam urutan tradisional Cina bagi mengurangkan ketegangan otot dan sistem saraf serta mempengaruhi jalur meridian tubuh manusia. Melayu urut pada urat di seluruh badan, bahagian kaki paling penting terutamanya ibu mengandung," katanya.

Beliau berkata seperti yang diamalkan masyarakat India, urutan memberi tumpuan pada bahagian kepala, tengkuk dan bahu.

Tenaga pengajar, Jowie Soo Li Keng, 48, yang juga Pegawai Pengesah Luaran, Jabatan Pembangunan Kemahiran, berkata setakat ini penggiat spa memberi respons yang sangat menggalakkan dan ada di antara pengusaha spa yang telah melaksanakan latihan untuk anggota terapi mereka.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kesejahteraann dan Spa Malaysia (MAWSpa), Dr Baskaran Kosthi berkata Urutan Malaysia merupakan produk pelancongan yang dapat membantu menaikkan nama Malaysia di pasaran antarabangsa kerana mempunyai identiti Malaysia.

"Kita sudah ada permintaan dari negara lain seperti Thailand. Kita akan berikan latihan kepada penggiat industri spa dalam negara dahulu sebelum ia dipromosikan ke negara luar. Latihan akan mengambil masa selama enam bulan hingga setahun," katanya.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebelum ini berkata Urutan Malaysia adalah satu produk penjagaan diri jenama Malaysia yang diilhamkan oleh pakar dan penggiat industri spa negara, dibangun dan diolah mengikut acuan Malaysia bermula 2012.

Teknik Urutan Malaysia akan dijadikan sebagai antara satu syarat wajib dalam penarafan bintang perusahaan spa serta menjadi modul wajib latihan anggota terapi spa di negara ini berkuat kuasa 15 Julai ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS