Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Murid mati main mercun, ibu bapa berdepan tindakan - menteri
Diterbitkan:  Jun 27, 2017 3:52 PM
Dikemaskini: 7:55 AM

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim hari ini melahirkan kekesalan atas kematian seorang kanak-kanak akibat bermain mercun di Kuching baru-baru ini dan mahu tindakan tegas diambil terhadap yang berkenaan.

"Saya ingin maklumkan kes ini dalam siasatan polis di bawah Akta Kanak-Kanak (Kecuaian Ibu Bapa). Kita akan bertegas untuk ambil tindakan di atas pengabaian kerana membiarkan anak bermain seorang diri tanpa pengawasan orang dewasa atau ibu bapa," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kuching.

Mengulas lanjut, Rohani berkata beliau akan membawa kes itu untuk dibincangkan dalam Majlis Kanak-Kanak Malaysia yang dijangka bermesyuarat selepas sambutan Aidilfitri.

"Dalam pada itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat bersedia untuk memberi kaunseling kepada ibu bapa serta ahli keluarga adik Haiqal Hakim, mereka mungkin masih trauma dengan insiden tersebut," katanya.

Dalam kejadian tengah malam Ahad itu, seorang murid tahun enam maut akibat kecederaan di kepala selepas berlaku letupan kuat ketika dia bermain mercun di Kampung Bintawa Hilir, dekat Kuching.

Kejadian berlaku kira-kira 2.15 tengah malam ketika Haiqal Hakim Zolpaka, 12, bermain mercun seorang diri di luar kediaman ibu bapanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS