Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR gesa SPRM siasat kes radar tentera ghaib di pelabuhan
Diterbitkan:  Jun 29, 2017 3:35 PM
Dikemaskini: 7:40 AM

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terhadap insiden kehilangan radar tentera di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor.

Menurutnya, kehilangan yang dilaporkan pagi tadi amat mengejutkan dan merisaukan, sekali gus dibimbangi melibatkan unsur-unsur rasuah.

"Ini merupakan satu kejadian kebolosan keselamatan negara yang amat serius," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu, radar bernilai jutaan ringgit yang dalam perjalanan dari Australia ke Belanda ditahan di Pelabuhan Tanjung Pelepas kerana ketiadaan permit mengikut Akta Perdagangan Strategik 2010 pada bulan lalu.

Bagaimanapun, ia didapati telah hilang dan dipercayai telah diseludup keluar dari negara ini.

Anggota parlimen Permatang Pauh itu berkata, insiden itu bukan saja melibatkan kehilangan peralatan ketenteraan yang kini mungkin telah dicuri atau diseludup keluar, tetapi juga menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan di salah sebuah pelabuhan terpenting di negara ini.

"Memandangkan pihak kastam dan pelabuhan sepatutnya mempunyai kawalan keselamatan yang tinggi dan rapi, insiden ini cukup merunsingkan.

"Jika peralatan radar tentera boleh dicuri atau diseludup dengan begitu mudah, apatah lagi penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia malah juga salah urus kargo atau konsainan bahan berbahaya," katanya.

Tambah beliau, amat mengecewakan jika wujud sebarang elemen rasuah dan persekongkolan dalam jenayah itu dan pihaknya menggesa pihak SPRM untuk membuat siasatan sepenuhnya.

"Memandangkan insiden ini melibatkan aspek keselamatan dan hubungan luar negeri, saya menggesa Kementerian Dalam Negeri dan Kastam Diraja Malaysia untuk memberi penjelasan serta menyatakan langkah-langkah yang akan diambil untuk memastikan keselamatan di pelabuhan-pelabuhan negara ini diperketat," katanya.

Lihat Komen
ADS