Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pulau Pinang nafi kos LRT Bayan Lepas RM24 bilion
Diterbitkan:  Jul 19, 2017 1:51 PM
Dikemaskini: 5:54 AM

Kerajaan Pulau Pinang menafikan pembinaan sistem kereta api LRT Bayan Lepas akan menelan belanja RM24 bilion.

Exco kerajaan negeri Chow Kon Yeow berkata demikian ketika menjawab soalan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti Norlela Ariffin daripada PKR yang mahu tahu kos perkhidmatan itu.

Norlela membandingkan kos pembinaan untuk jajaran LRT 30km, yang didakwanya bernilai RM24 bilion berbanding kos RM21 bilion untuk pembinaan kereta api MRT Sungai Buloh-Kajang sejauh 51km.

Chow bagaimanapun berkata kos LRT Bayan Lepas daripada Komtar ke South Reclamation’s Island B Pulau Pinang dianggarkan bernilai RM8.4 bilion.

Perkara itu, katanya, termaktub dalam dokumen permohonan cadangan (RFP) yang diserahkan oleh syarikat pembinaan SRS Consortium kepada kerajaan Pulau Pinang.

“Seperti termaktub dalam penjelasan sebelum ini berkaitan kos Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang bertarikh 19 Jun 2017, kos sebenar projek hanya akan dimuktamadkan selepas perincian reka bentuk kejuruteraan dan tender terbuka selesai.

“Ini hanya akan dilaksanakan selepas kelulusan yang diperlukan diperoleh daripada kerajaan persekutuan,” kata Chow dalam Facebook semalam.

Chow memegang portfolio perubahan, pengurusan trafik dan tebatan banjir.

Mengulas kepada Chow dalam platform sosial media yang sama, Norlela berkata penjelasan exco itu bermaksud kos keseluruhan Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang bernilai RM27 bilion, termasuk LRT, Pan Island Link, dua jalan raya dan monorel.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS