Most Read
Most Commented
Read more like this

Aktivis pelajar Khairul Anuar Ahmad Zainuddin disingkir daripada Institut Kemahiran Mara (IKM) selepas tiga hari ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menurut surat yang dikeluarkan oleh IKM Petaling Jaya bertarikh 9 Julai lalu, Khairul Anuar dipecat "serta merta," kata satu sumber yang rapat dengan keluarganya kepada malaysiakini hari ini.

Surat itu dipercayai diterima ibubapanya di Melaka minggu lepas.

Khairul Anuar, juga dikenali Jonah, ditangkap di depan balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 5 Julai lalu. Beliau kini masih lagi dalam tahanan polis.

Jonah ditangkap ketika mengiringi enam aktivis pelajar yang dikehendaki melapor diri di balai itu berhubung siasatan kes perhimpunan aman di Masjid Negara pada 8 Jun lalu. Enam pelajar itu didakwa berkumpul tanpa permit di Mahkamah Magistret Kuala Lumpur semalam.

Surat itu mengemukakan dua alasan penyingkiran pelajar semester tiga jurusan kejuruteraan iaitu beliau didapati menjejaskan imej IKM dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan gagal menjawab surat tunjuk sebab seperti yang diminta kepada lembaga tatatertib kolej itu.

Malaysiakini difahamkan Khairul Anuar bercadang menjawab surat tunjuk sebab itu pada 6 Julai tetapi gagal berbuat demikian kerana telah ditahan mengikut akta itu.

Dalam surat bertarikh 25 Jun, beliau dihadapkan dengan empat tuduhan yang dikeluarkan oleh Cawangan Khas, ibu pejabat polis Bukit Aman.

'Menggulingkan kerajaan'

Tuduhan itu menyebut, aktivis pelajar itu pernah menyertai kempen, bersama sembilan pelajar universiti, bagi menyokong Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Damansara pada 18 Februari lalu dengan mengadakan persembahan bacaan sajak, nyanyian dan berpidato.

Beliau juga dituduh menyertai bengkel motivasi reformasi di Kelab Darul Ehsan, Selangor pada 27 Februari lalu bagi "menjayakan agenda untuk menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi."

Jonah turut dituduh pernah menyertai "perjumpaan sulit" di rumah Presiden Parti Keadilan Nasional Dr Wan Azizah Wan Ismail di Bukit Damansara, Kuala Lumpur bagi "merancang demonstrasi jalanan untuk menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan.".

Beliau dituduh ditugaskan mendapat sokongan siswa untuk menyertai perhimpunan reformasi ketika mesyuarat Pemuda Keadilan di ibu pejabat parti itu di Jalan Damansara 20 Mac lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, keluarga pelajar itu kini menunggu kebenaran polis untuk mengadakan lawatan bagi kali kedua. Surat permohonan itu dihantar ke Bukit Aman hari ini.

Pertemuan pertama Jonah dengan keluarganya diadakan di ibu pejabat polis itu Sabtu lalu.

Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Mohamad Fuad Mohd Ikhwan ditahan sehari selepas Jonah. Pemimpin pelajar UM itu bagaimanapun dibebaskan Isnin lalu setelah ditahan 10 hari.

Jonah kini ditahan selama 16 hari.

ADS