Paling Popular
Terkini

Kerajaan Kelantan mengakui pembangunan negeri itu agak terkebelakang berbanding negeri lain dan ia sesuatu yang disengajakan.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan negeri mempunyai pendekatan tersendiri dalam menggerakkan pembangunan berbeza daripada negeri lain.

"Memang kita akui pembangunan fizikal negeri kita lambat. Kita sengaja melambatkan supaya kita nak pastikan pembangunan ini dapat dinikmati rakyat.

"Kalau kita cepatkan pembangunan, ambil dasar yang bebas kita boleh setanding dengan negeri seperti Selangor, tapi bahayanya kita risau rakyat akan ketinggalan.

“Orang kampung tak mampu turut dengan pembangunan," katanya dalam ceramah isu-isu semasa PAS Kawasan Pengkalan Chepa, di Kota Bharu, malam tadi.

Mohd Amar yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor berkata, dengan konsep pentadbiran Membangun Bersama Islam yang diamalkan sejak 27 tahun sudah banyak perubahan besar yang dilakukan oleh kerajaan negeri.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri mengambil pendekatan melakukan pembangunan yang dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat setempat.

"Kita mahu rakyat tempat dapat menikmati pembangunan, berbanding tempat lain yang membangun pesat tetapi rakyatnya terpaksa pindah dan lari," katanya yang mengambil contoh kemajuan di Langkawi, Kedah.

'Di Langkawi minum arak macam air sejuk'

Tambah Mohd Amar, Langkawi dibangunkan dengan pesat sebagai pusat pelancongan ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.

Namun, katanya masyarakat setempat di Langkawi hari ini duduk entah di mana.

"Selain itu kita tengok kesan sosial, kalau kita tak kawal pembangunan kita dapat lihat kesan sosial.

"Di Langkawi orang minum arak macam minum air sejuk. Orang boleh beli arak secara terbuka.

"Akhirnya sebahagian besar anak-anak muda di Langkawi rosak daripada aspek sosial," ujarnya.

Sementara itu, naib presiden PAS itu menegaskan apa yang dilakukan kerajaan Kelantan selama pemerintah parti itu adalah bersesuaian dengan keperluan dan keupayaan di samping menjaga pemilikan tanah negeri.

"Di Kelantan tanah milik rizab Melayu adalah 90 peratus dan sebahagian saja berstatus tanah terbuka.

"Jadi kalau kita terlalu cepat membangun, akan berlaku kehilangan milik tanah rizab Melayu. Kita akan hilang tanah dalam negeri kita sendiri, "jelasnya.

Lihat Komen
ADS