Terjemahan Peguam bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghantar surat tuntutan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, menuntut bekas Perdana Menteri itu memohon maaf serta menuntut gantirugi RM100 juta kerana memanggilnya 'peliwat'.

Surat tersebut, antara lain, mendakwa, Dr Mahathir membuat kenyataan tersebut untuk mendapatkan publisiti murah. Surat tersebut diserahkan kepada pejabat peguam bekas Perdana Menteri itu, Messrs VK Lingam, tengahari ini.

Surat tersebut, yang dikeluarkan oleh peguam Anwar Messrs S N Nair & Partners, menyatakan bahawa Dr Mahathir telah membuat kenyataan berunsur fitnah dalam satu sidang akhbar di pejabat Suhakam pada 9 September 2005.

Mahathir dikatakan telah berkata "Saya tidak boleh mempunyai seorang peliwat dalam kabinet saya" dan "bayangkan PM yang homoseks...tiada siapa pun yang selamat", ketika diminta mengulas keputusannya memecat Anwar pada 1998.

Publisiti murah

Anwar antara lain, mendakwa, Dr Mahathir telah dengan sengaja, tidak bertanggungjawab dan berniat jahat ketika membuat kenyataan tersebut.

Katanya lagi, kenyataan Dr Mahathir itu dibuat dengan bertujuan tujuan untuk mencemarkan dirinya dan mendedahkan dirinya kepada kebencian umum.

Selain mencemarkan reputasinya, Anwar juga mendakwa bahawa kenyataan (Dr Mahathir) itu turut menjejaskan keluarganya berikutan liputan media berhubung perkara itu.

Tuntutan dalam surat tersebut ialah:

- Pemohonan maaf secara bertulis yang disiarkan dalam semua akhbar utama dan media elektronik.

- Bayaran RM1,000 sebagai kos pengeluaran surat tersebut.

- Bayaran gantirugi RM100 juta

Saman malu

Peguam Anwar, Sankara Nair, yang menyerahkan surat tersebut berkata, Dr Mahathir mempunyai 14 hari untuk menjawabnya, dan jika beliau gagal berbuat demikian, saman malu akan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Kita akan menunggu sama ada Dr Mahathir akan menjawab tuntutan tersebut. Jika beliau gagal berbuat demikian, kami tidak akan teragak-agak untuk memfailkan saman malu terhadapnya," katanya ketika ditemui di Putrajaya.

Sankara (foto) pada mulanya pergi ke Putraya untuk menyerahkan surat tersebut kepada Dr Mahathir sendiri, tetapi diberitahu yang bekas Perdana Menteri itu, telah mendapatkan khidmat peguam VK Lingam.

Selasa lalu, Anwar menyatakan hasratnya untuk menyaman Dr Mahathir, serta melahirkan rasa terperanjatnya terhadap kenyataan itu, memandangkan mahkamah telah membersihkan dirinya daripada tuduhan tersebut.

Sebaliknya, Anwar mendakwa,Mahathir terus menerus menyebarkan pembohongan tersebut 'untuk mengalihkan perhatian dan kritikan terhadap dasar-dasarnya serta pelanggaran hak asasi manusia dan rasuah'.

Jika Anwar meneruskan hasratnya itu, ini merupakan saman kedua yang difailkan oleh Anwar terhadap Dr Mahathir.

Pada tahun 1998, Anwar menfailkan saman yang sama terhadap Dr Mahathir yang didakwanya telah menfitnahnya dalam satu sidang akhbar di mana Dr Mahathir menuduhnya melakukan liwat.

Setahun kemudiannya, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak saman tersebut.

Anwar pada mulanya disabitkan terhadap kesalahan liwat tetapi selepas membuat rayuan, Mahkamah Persekutuan telah membebaskannya daripada tuduhan tersebut./ Berita asal