Dr Mahathir tolak tuntutan Anwar
Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menyetujui tuntutan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya beliau memohon maaf dan membayar pampasan RM100 juta berhubung perkataan-perkataan memfitnah yang didakwa dilafazkan oleh bekas Perdana Menteri itu.
Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menyetujui tuntutan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya beliau memohon maaf dan membayar pampasan RM100 juta berhubung perkataan-perkataan memfitnah yang didakwa dilafazkan oleh bekas Perdana Menteri itu.
Dalam balasannya kepada surat tuntutan bekas timbalannya itu, Dr Mahathir berkata, beliau akan bersungguh-sungguh mempertahankan prosiding memfitnah yang dibawa terhadapnya dan menerima khidmat proses undang-undang jika Anwar bertekad untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
Surat daripada peguam Dr Mahathir, V.K. Lingam & Co itu, telah diserahkan kepada peguam Anwar, Tetuan S.N.Nair & Partners.
Dalam suratnya, Dr Mahathir berkata, Mahkamah Persekutuan dalam keputusannya pada 2 September tahun lalu, malah telah secara khusus menemui fakta bahawa Anwar sebenarnya terlibat dalam kegiatan homoseksual.
Pada 23 September, Anwar menyerahkan surat tuntutan melalui peguam Dr Mahathir yang menuntut bekas Perdana Menteri itu memohon maaf secara sepenuh dan sebenar-benarnya, dengan secara bertulis dalam tempoh 14 hari.
Permohonan maaf itu hendaklah disiarkan di dalam semua akhbar utama dan media elektronik pilihan Anwar.
Menurut laporan Bernama, kandungan surat tuntutan itu juga menyatakan bahawa peguam Anwar telah menerima arahan daripada bekas timbalan perdana menteri itu, supaya mengambil tindakan undang-undang jika permintaan itu tidak dituruti.
Dalam surat itu, Anwar berkata, beliau telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan daripada tuduhan melakukan sodomi dan bahawa perkataan-perkataan memfitnah yang didakwa dilafazkan oleh Dr Mahathir itu, telah secara langsung dan tidak langsung, memberi gambaran bahawa Anwar seorang yang homoseksual.
Anwar mendakwa, Dr Mahathir telah melafazkan perkataan-perkataan yang memfitnahnya itu dalam sidang akhbar di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di Menara Tun Razak pada 9 September, yang dilaporkan oleh agensi-agensi berita, media elektronik dan media bukan elektronik.
Pada 2 September tahun lalu, Mahkamah Persekutuan membebaskan bekas timbalan perdana menteri itu daripada tuduhan melakukan sodomi.
Report this comment


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.