Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Datang serah memorandum, pulang berlari dikejar’

Setiausaha Bahagian MCA Cheras Toh Kian Kok hari ini melawat pejabat DAP Cheras dengan tujuan menyerahkan satu memorandum kepada penyandang Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai.

Toh, juga adalah suami kepada Heng Sinn Yee yang disebut-sebut bakal dinamakan sebagai calon BN untuk bertanding di parlimen Cheras. Hasrat Toh adalah supaya Tan menangani 15 perkara yang dikatakan menjadi isu tempatan dan disebut dalam memorandum itu.

Memorandum berkenaan diterima oleh wakil DAP, Janice Choo.

Bagaimanapun, Toh dan rombongan kira-kira 20 penyokongnya tersentak dan terkejut apabila pemimpin dan penyokong DAP membawa kepadanya satu cermin besar dan dua kertas rentang berwarna merah yang tertera dalam bahasa Cina.

Kertas itu antaranya berbunyi “Apabila babi memandang ke dalam cermin, wajah baik di dalam mahupun di luar bukannya manusia” dan “Seseorang yang tidak menyedari bahawa diri mereka adalah hodoh ibarat kuda yang tidak tahu betapa panjang mukanya.”

Toh dan pengikutnya menjadi berang dan cuba berundur tetapi dikejar oleh kira-kira lima belas anggota DAP yang mendesaknya menerima "hadiah berkenaan sebagai balasan".

Kedua-dua kumpulan itu berlari sehingga tiba di sebuah restoran yang terletak kira-kira 100 meter dari pejabat DAP. Penyokong DAP kemudian mencampakkan kertas itu kepada Toh yang bertegas tidak mahu menerimanya.

Penyokong MCA kemudian juga mempamerkan kain rentangnya yang antaranya berbunyi "penipu",  "cakap besar kerja tak buat" dan "khidmat buruk."

Selepas penyokong DAP itu beredar, Toh duduk di restoran dan mengutuk gelagat kasar penyokong DAP berkenaan.

"Apa yang mereka lakukan itu agak melampau dan biadap, saya juga bimbang dengan keselamatan saya dan rakan-rakan lain.

"Oleh kerana saya ada menjemput wartawan, maka saya tidak akan melarikan diri dan akan berjumpa dengan wartawan. Walau bagaimanapun, saya fikir tempat ini lebih selamat," katanya.

Toh seterusnya mengecam Tan dan mendakwa pemimpin DAP itu gagal melaksanakan tugasnya sebagai ahli parlimen sepanjang 7 penggal atau 31 tahun.

"Mereka yang tinggal di Kuala Lumpur tidak mempunyai majlis perbandaran atau majlis daerah. Jadi siapakah yang boleh bantu mereka jika ahli parlimen tidak mahu menyelesaikan isu tempatan? " soalnya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS