Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SUK Perak: Sumbangan ke PASTI tak bermotif politk

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan hari ini menafikan dakwaan bahawa sumbangan yang disalurkan kepada sebuah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di Parit Buntar sebelum ini, bermotifkan politik.

Katanya bantuan itu disalurkan sejajar dengan tanggungjawab sebuah kerajaan negeri untuk membantu rakyat tanpa mengira warna kulit, agama mahupun fahaman politik yang dianuti.

"Bidang kuasa untuk membantu atau menyalurkan peruntukan lebih-lebih lagi untuk pembinaan atau pembangunan sesebuah institusi pendidikan memang ada pada kita.

"Sekolah itu minta bantuan daripada kita sekitar bulan Januari tahun ini dan kita bagi sebulan selepas itu. Jadi, tidak munasabah nak kata ia bermotif politik kerana tarikh pilihan raya pun jauh daripada tarikh kita bagi (bantuan),” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Watikah Kompleks Menembak Amanjaya di Ipoh.

Pada 18 April lalu, penyandang kerusi Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) mendakwa tindakan Abdul Puhat menyalurkan bantuan kepada Pasti terbabit bermotifkan politik kerana nama Setiausaha Kerajaan Negeri itu disebut-sebut sebagai calon Barisan Nasional untuk kerusi parlimen berkenaan.

Mengulas lanjut, Abdul Puhat berkata perkara berkenaan juga tidak seharusnya diperbesar-besarkan kerana bantuan sama turut diberikan kepada sekolah-sekolah lain sebelum ini.

"Sekolah lain pun kita pernah bantu sebelum ini dan bagi saya perkara ini biasa sahaja dan tak beri kesan terutama pada penduduk di sana," katanya.

Katanya beliau berlapang dada dan menerima kritikan yang dilemparkan itu sebagai satu motivasi untuk membina jati diri.


-Bernama

Lihat Komen
ADS