PAS akan terus memerintah negeri Kelantan walaupun hanya mempunyai majoriti satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Setiausaha Agungnya, Datuk Kamaruddin Jaafar.

Menurutnya, soal majoriti kecil sama ada satu atau dua kerusi bukan masalah besar, asalkan Barisan Nasional (BN), khususnya Umno, menjadi pembangkang yang bertanggungjawab.

"Majoriti kecil tak jadi masalah kerana kita tetap menguasai DUN. Yang pentingnya Umno tidak mengkhianati perjalanan sebuah kerajaan yang sah dan halal.

"Kerajaan negeri tidak akan goyang kalau Umno bertanggungjawab," tegas beliau yang juga ahli Parlimen Tumpat ketika dihubungi hari ini.

Kamaruddin berkata, para pemimpin Umno perlu ingat bahawa bekas presiden mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) pernah bertegas untuk menjadi presiden parti walaupun jika menang dengan satu undi sahaja, ketika dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah pada tahun 1987 dulu.

"Ini pendirian Umno...jadi mengapa pula apabila PAS mendapat majoriti kecil di DUN, ia perlu membubarkan kerajaan negeri," soal beliau.

'Hormati hak sultan'

Setiausaha agung PAS itu menegaskan demikian sebagai mengulas gesaan pemimpin Umno termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (foto) semalam supaya kerajaan PAS Kelantan membubarkan DUN jika kalah dalam piliharaya kecil Pengkalan Pasir pada 6 Disember ini.

Presiden Umno itu berkata, jika PAS tewas, ia menunjukkkan rakyat tidak yakin lagi pada kerajaan PAS dan oleh itu, pengundi harus diberi peluang untuk memilih sebuah kerajaan baru.

Kamaruddin sebaliknya bertanya adakah Abdullah akan membubarkan Parlimen jika BN tewas, kerana ia juga menunjukkan rakyat telah menolak BN dan Umno?

Beliau turut mengingatkan para pemimpin Umno supaya menghormati hak sultan dalam soal pembubaran DUN.

"Pemimpin Umno jangan cuba mengambil alih peranan sultan yang tercatat dalam perlembagan negara itu," tegasnya.

Mengenai cadangan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Annuar Musa (foto) yang mempelawa PAS mengumumkan calonnya dalam satu majlis dengan Umno, Kamaruddin berkata, ia tidak perlu.

'Helah Annuar'

"Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, telah tegaskan bahawa itu tidak perlu. PAS mempunyai strategi dan majlis sendiri untuk mengisytiharkan calonnya," ujar beliau.

Sebaliknya, Kamaruddin berkata, Annuar mempunyai niat lain apabila cuba berbaik-baik dengan PAS menerusi cadangan perisytiharan bersama calon bagi pilihanraya kecil Pengkalan Pasir.

"Ia hanya helah Annuar untuk menutup segala amalan penipuan, pembelian undi dan ugutan yang dilakukan dalam kempen pilihanraya ini," ujarnya.

Pilihanraya kecil Pengkalan Pasir diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya, Wan Abdul Aziz Wan Jaffar pada 31 Oktober lalu.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan tarikh penamaan calon pada 27 November ini dan pengundian pada 6 Disember.