Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siasatan 1MDB hampir selesai, kata Abu Talib
Diterbitkan:  Jun 22, 2018 6:56 PM
Dikemaskini: 11:02 AM

Beberapa siasatan yang dijalankan terhadap syarikat pelaburan strategik negara, 1MDB telah hampir selesai, kata pengerusi jawatankuasa siasatannya, Tan Sri Abu Talib Othman.

Beliau berkata demikian selepas bertemu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan bekas ketuanya, Tan Sri Abu Kassim Mohamed hari ini.

Beliau berkata Mohd Shukri dan Abu Kassim yang merupakan sebahagian pasukan petugas khas 1MDB, telah memberi taklimat kepada beliau mengenai penemuan terbaru mereka.

"Mereka memberi taklimat kepada kami mengenai status siasatan mereka yang berterusan.

"Ia sedang berjalan dengan lancar dan siasatan kes hampir selesai, (diserahkan) ke Jabatan Peguam Negara untuk perhatian mereka," kata Abu Talib ketika meninggalkan Menara Ilham di Kuala Lumpur, di mana mesyuarat itu diadakan.

Beliau turut mengesahkan ia termasuk siasatan ke atas bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Bagaimanapun, Abu Talib yang juga bekas peguam negara, berkata beliau tidak dimaklumkan mengenai kehilangan saksi utama - ahli perniagaan Low Taek Jho dan bekas pengarah SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil.

Beliau juga tidak dapat memastikan bilangan mereka yang terlibat dalam salah laku terbabit.

Lihat Komen
ADS