Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
LPPSA-MBSB tawar pinjaman perumahan pemohon bersama
Diterbitkan:  Jul 19, 2018 3:28 PM
Dikemaskini: 7:32 AM

Skim pembiayaan perumahan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) kini diperluas kepada pemohon bersama antara penjawat awam dan kakitangan sektor swasta, kata Ketua Pegawai Eksekutif LPPSA Datuk Kamal Mohd Ali.

Beliau berkata syarat utama perbiayaan bersama antara suami-isteri, ibu-bapa dan anak-anak itu ialah seorang daripada pemohon bersama tersebut mestilah seorang penjawat awam.

Inisiatif itu dilaksana menerusi kerjasama LPPSA dengan MBSB Bank Bhd, katanya.

"Tujuan utama skim ini adalah untuk membantu peminjam, terutama kakitangan sektor awam untuk memperoleh jumlah pembiayaan yang lebih tinggi berbanding permohonan secara individu, sekaligus memberi peluang untuk pemberian rumah kediaman yang lebih selesa.

"Ia juga membantu kakitangan sektor awam mengurangkan komitmen bulanan pembiayaan dengan bayaran balik pinjaman dikongsi antara peminjam bersama," katanya pada sidang media selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama MBSB Bank di Putrajaya hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank Datuk Seri Ahmad Zaini Othman. Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Seri Dr Ismail Abu Bakar yang juga pengerusi LPPSA.

Kamal berkata melalui perjanjian itu, kedua-dua pihak bersetuju menyediakan kemudahan pembiayaan bersama berdasarkan syarat dan prosedur yang dipersetujui bersama, antaranya MBSB Bank menyediakan pembiayaan bagi pemohon yang berkhidmat di sektor swasta.

Ahmad Zaini dalam pada itu berkata MBSB Bank dan LPPSA menawarkan dua kategori pinjaman iaitu pembiayaan rumah yang telah siap dan juga yang masih dalam pembinaan.

Beliau berkata MBSB Bank menawarkan kemudahan membiayai jumlah 'wang beza' antara jumlah pembiayaan yang diluluskan oleh LPPSA dengan baki harga rumah.

"Ini bermakna jika harga rumah adalah RM300,000 sebuah dan jumlah yang diluluskan LPPSA adalah lebih rendah daripada harga hartanah atau pada kadar RM250, 000, pemohon boleh memohon pembiayaan wang beza itu daripada pihak kami selaku institusi pembiayaan bersama," katanya.

Ahmad Zaini berkata pihaknya memperuntukkan sebanyak RM500 juta bagi menjayakan skim berkonsepkan patuh syariah 'Tawarruq' itu untuk tempoh tiga tahun dengan pelaksanaannya disasarkan dalam tempoh terdekat.

Dalam perkembangan lain, Kamal berkata aset pembiayaan perumahan LPPSA bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis lepas adalah sebanyak RM55.881 bilion dengan jumlah terkini peminjam aktif seramai 761,099 orang.

Beliau berkata sejak ditubuhkan pada Januari 2016, LPPSA sehingga kini telah meluluskan pinjaman baharu kepada 101,753 peminjam dengan dana sebanyak RM20.71 bilion.

LPPSA sehingga kini menerima purata permohonan kira-kira 4,000 sebulan, disokong oleh pembangunan projek-projek rumah mampu milik di seluruh negara seperti Perumahan Penjawat Awam Malaysia, katanya.

LPPSA ialah badan berkanun yang ditubuhkan mengikut Akta Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam 2015, mengambil alih fungsi keseluruhan Bahagian Pinjaman Perumahan di bawah Perbendaharaan Malaysia.

- Bernama

Lihat Komen
ADS