Kaukus Parlimen mengenai Hak Asasi Manusia akan meminta Kementerian Pengajian Tinggi menggugurkan semua tuduhan terhadap pelajar yang memulau pilihanraya kampus baru-baru ini.

"Saya sendiri akan menghubungi Menterinya, Datuk Shafie Salleh, untuk meminta digugurkan semua tuduhan ke atas pelajar terbabit kerana tuduhan itu tidak munasabah langsung," kata Pengerusi kaukus tersebut, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, kaukus tersebut akan berbincang dengan Kementerian Penggajian Tinggi berhubung tindakan pentadbir universiti mengenakan tindakan disiplin terhadap para pelajar terbabit.

"Ini keputusan kaukus dan Datuk Shafie mesti memberi respons terhadap aduan para pelajar bahawa berlaku banyak penyelewengan dalam pilihanraya kampus baru-baru ini, " katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan membawa perkara ini kepada mesyuarat jemaah menteri serta membentangkannya dalam seminar pendidikan.

Nazri bercakap dalam sidang media di bangunan Parlimen selepas menerima memorandum bantahan dari Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Rithaudin Abd Wahab (foto) mengenai perjalanan pilihanraya kampus.

Mengulas memorandam tersebut, beliau meminta para pelajar memberi laporan lengkap, termasuk laporan polis terhadap salahlaku pegawai universiti semasa pilihanraya kampus supaya tindakan dapat diambil segera.

Hak memilih

Nazri juga berkata, sudah sampai masanya pentadbir universiti tempatan bersikap lebih terbuka dalam soal pilihanraya kampus.

"Apa yang mahu ditakutkan pada pilihanraya kampus, ia tidak boleh menghancurkan negara," ujarnya.

Tegasnya, Malaysia adalah negara demokrasi dan pelajar berhak memilih pemimpin yang mereka kehendaki .

Beliau menambah, universiti sepatutnya membiarkan idealisme pelajar subur kerana mereka bakal menjadi pemimpin negara pada masa depan.

Di dalam memorandam berkenaan, SMM mendakwa enam pelajar dari beberapa universiti awam tempatan dikenakan tindakan atas dakwaan melakukan pelbagai kesalahan termasuk memboikot pilihanraya.

Sebelum ini, SMM telah menghantar memorandum serupa kepada Kementerian Penggajian Tinggi dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Menyentuh soal Akta Universiti Kolej dan Universiti (Auku), Nazri berkata, pihaknya juga akan mengkaji sama ada akta tersebut sesuai digunakan pada zaman ini.

Katanya, Auku digubal sesuai dengan senario pada waktu itu tetapi dengan perubahan masa, adakah akta itu diperlukan lagi?

Sementara itu, sesi soal-siasat bagi semua sepuluh pelajar daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) yang didakwa memulaukan pilihanraya kampus yang lalu, telah ditangguhkan tetapi mereka belum dimaklumkan oleh pihak penguasa kampus mengenai tarikh baru.

Ini termasuk sesi soal-siasat terhadap tiga daripada enam pelajar UPM yang dijadualkan hari ini.