Most Read
Most Commented
Read more like this

Versi terkini Ketua Pemuda PAS Mahfuz Omar hari ini dipenjarakan sebulan selepas didapati bersalah terlibat dalam satu perhimpunan haram di depan Universiti Malaya bagi membantah pasukan kriket Israel pada 1997.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Sayani Mohd Nor menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau penjara selama sebulan kepada Mahfuz dan tiga yang lain.

Turut didapati bersalah jam 11 pagi tadi, Naib Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub, Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka Minghat Mahmut dan Jalaluddin Abdul Manan.

Mereka dituduh di bawah seksyen 143 Kanun Keseksaan atau perhimpunan tanpa permit polis bersama lebih 40 penyokong PAS yang lain. Bagaimanapun, empat aktivis parti Islam itu sahaja disabitkan kes dan dikehendaki membela diri dalam perbicaraan tahun lalu, sementara selebihnya dibebaskan.

Di bawah seksyen ini, seseorang boleh dihukum penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

Semua mereka, kecuali Minghat yang mempunyai masalah kesihatan, tidak membayar denda tetapi memilih hukuman penjara dengan alasan "tidak mahu memberi wang walaupun satu sen kepada kerajaan yang ada kini."

Malaysiakini difahamkan ketiga-tiga aktivis PAS itu ( foto , Mahfuz dan Salahuddin, kanan) sudah dibawa ke Penjara Kajang tengahari tadi.

Seseorang anggota Dewan Rakyat akan gugur jawatannya jika didenda sekurang-kurangnya RM2,000 atau penjara setahun.

Sejak jam 10 pagi tadi, kira-kira 100 penyokong pembangkang berada di luar mahkamah menunggu keputusan hukuman tersebut.

Turut bersama mereka Presiden PAS Datuk Fadzil Mohd Noor dan Ketua Pemuda Keadilan Mohamad Ezam Mohd Nor. Beberapa anggota Dewan Rakyat pembangkang meninggalkan sidang untuk bersama Mahfuz.

Membunuh demokrasi

Dalam penghujahannya, peguam bela Mohamad Hanipa Maidin berkata tertuduh yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sepatutnya dikenakan denda RM1 sahaja.

Beliau juga berkata hukuman terhadap empat orang itu sebagai usaha "membunuh demokrasi" di negara ini.

Kata Hanipa lagi, empat orang itu membantah Israel "laknatullah" (laknat Allah terhadap mereka) dan tidak wajar dihukum sehingga RM2,000. Sedangkan bekas Menteri Besar Kedah Sanusi Junid yang didapati bersalah memukul dua orang kakitangan lapangan terbang KLIA didenda RM1,000, katanya lagi.

Sementara Timbalan Pendakwaraya Kamaruzaman Abdul Jalil pula berhujah sebarang hukuman boleh dibuat rayuan dan mereka wajar dikenakan hukuman berat supaya menjadi pengajaran kepada orang ramai.

"Sifat degil tidak boleh dipandang ringan," katanya di mahkamah.

Hakim berkata pihak tertuduh gagal membuat pembelaan kerana keterangan saksi-saksi tidak memuaskan.

Foto bawah, ehsan Harakahdaily.com

ADS