Seorang exco kerajaan negeri Perak hari ini mendedahkan bahawa Umno menawarkan beliau jawatan menteri besar jika meninggalkan Pakatan Harapan dan bersama membentuk kerajaan dengan wakil rakyat PAS dan Bersatu.
Malah, kata Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi, Umno menghantar wakil menemuinya pada 1 November lalu bagi menawarkan tawaran berkenaan.
“Saya tolak bulat-bulat tawaran yang dibuat oleh individu yang sangat dikenali itu.
"Individu yang pernah berjawatan tinggi dalam Umno Perak itu telah bertemu dengan saya dengan membawa salam daripada Datuk Shaarani (Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak) dan menawarkan jawatan menteri besar Perak kepada saya," katanya di Facebook hari ini.
Mengulas dakwaan Umno bahawa wujudnya gerakan yang serius untuk menjatuhkan Menteri Besar oleh beberapa orang exco kerajaan negeri, Asmuni berkata, parti Amanah tetap teguh di belakang Menterri Besar Ahmad Faizal Azumu untuk mentadbir kerajaan negeri Perak.
Menurutnya, Adun-Adun dari parti komponen Pakatan Harapan yang lain turut berpendirian yang sama
“Saya menegaskan di pihak Amanah 'solid' di belakang menteri besar untuk mendokong kerajaan yang ada pada hari ini. Dan Adun-Adun dari parti komponen Pakatan Harapan yang lain turut berpendirian yang sama.
“Tidak ada sebarang masalah yang boleh cetuskan pertelingkahan dan kestabilan,” katanya.
Bernama hari ini melaporkan Armada Bersatu Perak mendesak kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Perak menyiasat dakwaan bahawa terdapat exco kerajaan negeri berkomplot dengan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang untuk menjatuhkan Ahmad Faizal.
Ketua Armada Bersatu Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata pihaknya memandang serius dakwaan itu dan jika benar tindakan tegas mesti diambil terhadap pihak terbabit dengan memecat atau menggugurkannya dari exco kerajaan negeri selain tindakan disiplin diambil oleh kepimpinan parti.

Katanya, tindakan mempermainkan rakan-rakan PH dengan berkomplot bersama Adun pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat adalah suatu perbuatan yang tidak boleh dikompromi sama sekali.
Sementara itu, PKR Perak dalam satu kenyataan mendesak Umno membuat pendedahan nama pemimpin PH yang didakwa terbabit dalam usaha dan cubaan menggulingkan Ahmad Faizal.
“Saya dengan ini mencabar Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak bagi menyatakan secara terbuka nama pemimpin PH yang terbabit dalam isu ini supaya ia boleh membuktikan sejauh mana kebenaran dakwaan beliau.
“Saya juga turut meminta (Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak) Saarani Mohamad untuk menamakan sebarang individu yang melakukan kerja terkutuk ini sekiranya ia benar-benar berlaku.
“Ini kerajaan yang terbina dengan kepercayaan rakyat dan rakyat bukan mahu dihidangkan dengan berita politik yang jelik mainan pemimpin politik semata-mata,” kata Ketua Penerangan PKR Perak, Siti Aishah Shaik Ismail.

Menurut beliau, PKR akan juga mencadangkan supaya pemimpin PH mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap Saarani sekiranya gagal membuktikan apa yang didakwa itu.
Katanya, tindakan undang-undang itu penting bagi membuktikan kepada rakyat Perak bahawa isu berkenaan hanyalah isu yang dimainkan oleh Umno bagi mengalih perhatian rakyat.
“Kepada kepemimpinan PH yang menerajui kepemimpinan negeri suka saya mengingatkan bahawa ini adalah masa untuk kita melakukan sehabis baik, khidmat kita kepada rakyat dan bukan kekal berfahaman sebaliknya.
“Ini kerajaan yang didirikan atas semangat pasukan dan biar ia kekal berterusan,” katanya.
