Sebuah persidangan meja bulan mengenai isu perkahwinan bawah umur semalam menerima resolusi bahawa amalan berkenaan wajar, malah jika mengikut konteks Kelantan, ia suatu keperluan.
Peserta juga berpendapat amalan nikah bawah umur dibenarkan syarak serta selaras dengan peruntukan Seksyen 8 Enakmen Keluarga Islam Kelantan 2002 yang membenarkannya dengan syarat mendapat keizinan bertulis mahkamah.
Justeru, kata mereka, tiada keperluan untuk meminda umur minimum untuk mana-mana pasangan beragama Islam di Kelantan untuk berkahwin.
Sebagai rekod umur minumum untuk bernikah di Kelantan ialah 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun perempuan.
Ketetapan itu adalah satu darippada tujuh resolusi yang dicapai dalam program anjuran bersama kerajaan PAS Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jheaik) dan Pertubuhan Lepasan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) Kelantan di Kota Bharu, kelmarin.
Terdahulu, negara digemparkan dengan kes perkahwinan seorang lelaki Kelantan dengan gadis bawah umur dari Thailand sehingga menimbulkan pelbagai reaksi pihak berwajib termasuk kerajaan persekutuan.
Sementara itu, persidangan berkenaan turut menolak Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCRC) dan Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) yang mendesak agar kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah tidak dibenarkan berkahwin tanpa sebarang pengecualian.
“Dua konvensyen ini tidak sesuai dilaksanakan khususnya bagi orang Islam di Kelantan dengan mengambil kira kebejatan sosial hari ini serta telah wujudnya mekanisme ketat kawalan perkahwinan bawah umur yang telah diperuntukkan dalam undang-undang dan piawaian operasi standard (SOP) yang digariskan.
“Kemaslahatan perkahwinan pasangan bawah umur hendaklah dinilai melalui penelitian menyeluruh daripada aspek kerelaan pasangan dan kesediaan mendirikan rumahtangga seperti kemampuan, emosi, fizikal, mental, seksual, sosial, spiritual, kesihatan, pendidikan, sekufu dan sebagainya,” kata resolusi itu yang dikeluarkan semalam, seperti dilaporkan Utusan Online.
Persidangan tersebut mengumpulkan 80 peserta mewakili pelbagai jabatan dan institusi.
Antara panel yang terlibat ialah pakar undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Noor Aziah Mohd Awal; Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar; dan Ketua Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan di Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Rosediani Muhamad.
