Memorandum kepada Majlis Raja-Raja, bantah desakan pinda Perkara 121 (1A)
Dewan Pemuda PAS akan menghantar memorandum kepada Raja-Raja Melayu pada 25 Januari ini untuk membantah desakan supaya dipinda Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.
Dewan Pemuda PAS akan menghantar memorandum kepada Raja-Raja Melayu pada 25 Januari ini untuk membantah desakan supaya dipinda Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.
Ketuanya, Salahuddin Ayub berkata, memorandam itu akan disampaikan melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu pada jam 11 pagi hari berkenaan.
Menurutnya, penyerahan memorandum itu adalah sebahagian daripada kempen anjuran Pemuda PAS di seluruh negara bagi menjelaskan kepada rakyat mengapa desakan pindaan tersebut perlu ditentang.
Katanya, kempen tersebut akan dimulakan Jumaat ini dengan perhimpunan di Masjid Negara sebelum berarak ke ibupejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
Satu memorandam akan dihantar kepada Suhakam bagi menyatakan bantahan terhadap usaha-usaha menghapuskan hak umat Islam yang sudah termaktub di dalam perlembagaan negara," katanya kepada malaysiakini hari ini.
Menurut Salahuddin lagi, kempen tersebut akan dilancarkan secara rasmi di ibupejabat PAS di Taman Melewar pada 25 Januari yang dijangka dihadiri oleh kira-kira 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan Melayu.
"Dalam perhimpunan itu, kita menjemput semua pemimpin badan bukan kerajaan umat Islam untuk berucap bagi mempertegaskan sikap masing-masing terhadap perkara itu," katanya.
Menurutnya, antara NGO yang telah menyatakan sokongan terhadap kempen tersebut ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia.
Perbezaan ideologi
Salahuddin berkata, semua pihak yang berkaitan dengan kepentingan Islam dan Melayu, termasuk Pergerakan Pemuda Umno akan dijemput untuk bersama-sama menghadiri perhimpunan tersebut.
"Semua pihak dialu-alukan menyertai perhimpunan dan kempen ini, kerana isu ini mengatasi batas ideologi politik.
"Perkara ini mencabar maruah dan harga diri semua umat Islam, tidak kira PAS, Umno atau mana-mana pihak sekalipun. Perbezaan politik tidak lagi menjadi perhitungan kerana semua umat Islam akan menanggung kesan buruk jika Perkara 121 (1A) itu dipinda," jelasnya.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Krian berkata, desakan pindaan itu, jika menjadi kenyataan, akan membunuh kuasa Mahkamah Syariah.
"Jika pindaan dibuat, mahkamah sivil boleh memansuhkan keputusan mahkamah Syariah sehingga ke peringkat tidak ada makna lagi mahkamah Syariah bersidang untuk membuat apa jua keputusan," jelasnya
Kempen ini katanya, akan meliputi pelbagai program seperti ceramah penerangan, forum dan diskusi.
"Kita akan berusaha untuk mengambil semua pendekatan dalam cara aman bagi memperjuangkan kedaulatan mahkamah Syariah dan menolak desakan pindaan tersebut," tegas beliau.

