Anti-ISA: Tujuh siswa digantung pengajian
Tujuh pelajar yang dituduh di mahkamah kerana terlibat dengan perhimpunan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Jun lalu digantung pengajian di universiti masing-masing bermula awal Ogos.
Terbaru, Ahmad Kamal Abd Hamid dan Nik Noorhafizi Nik Ismail Nik Ibrahim (Universiti Kebangsaan Malaysia), Zulkifli Idris (Universiti Teknologi Malaysia) dan Hilman Sanuddin (Universiti Teknologi Mara) digantung pengajian berperingkat-peringkat sejak beberapa minggu lalu, kata sumber-sumber aktivis pelajar.
Tujuh pelajar yang dituduh di mahkamah kerana terlibat dengan perhimpunan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Jun lalu digantung pengajian di universiti masing-masing bermula awal Ogos.
Terbaru, Ahmad Kamal Abd Hamid dan Nik Noorhafizi Nik Ismail Nik Ibrahim (Universiti Kebangsaan Malaysia), Zulkifli Idris (Universiti Teknologi Malaysia) dan Hilman Sanuddin (Universiti Teknologi Mara) digantung pengajian berperingkat-peringkat sejak beberapa minggu lalu, kata sumber-sumber aktivis pelajar.
Tiga pelajar universiti itu, kecuali UiTM, digantung mengikut seksyen 15(1) Akta Universiti dan Kolej Universiti. Menurut seksyen itu, seseorang pelajar yang menghadapi pertuduhan di mahkamah mestilah digantung pengajian serta-merta dan dilarang memasuki kampus sebarang universiti tempatan.
Sementara Hilman digantung mengikut seksyen 14(1) Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) dengan klausa yang sama maksudnya.
Malaysiakini gagal mendapatkan pengesahan mereka atau bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) setakat ini.
Malaysiakini
sebelum ini melaporkan dua pelajar Universiti Malaya, Khairul Amal Mahmood dan Wan Mohd Sanusi Wan Mohd Noor tidak dibenarkan meneruskan pelajaran sehingga kes mereka, sedang dibicarakan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, selesai.Perbicaraan kes seumpama ini selalunya memakan masa satu hingga dua tahun, tidak termasuk tempoh rayuan di dua mahkamah yang lebih tinggi.
Mereka menerima surat penggantungan itu daripada HEP UM pada pertengahan Ogos.
Seorang lagi pelajar UiTM, Rafzan Ramli - yang diterima semula belajar selepas dipecat serta merta 22 Jun - berhubung perhimpunan itu menerima surat itu pada 7 Ogos. Tindakan itu bagaimanapun berkuatkuasa sejak 19 Julai, hari mereka didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
Ketujuh-tujuh pelajar ditangkap ketika menyertai satu perhimpunan yang diadakan kira-kira jam 2.30 petang pada 8 Jun di depan Masjid Negara. Mereka ditahan selama hampir 24 jam di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Mereka dituduh mengikut seksyen 27(5) Akta Polis atau kesalahan menyertai perhimpunan tanpa permit. Kes itu akan disebut pada 15 dan 16 Oktober ini.
UiTM tidak profesional
Perhimpunan anjuran gabungan 12 persatuan pelajar yang dikenali Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI) diadakan sempena genap 60 hari penangkapan mengikut ISA terhadap 10 aktivis reformasi dan pemimpin Parti Keadilan Nasional.
Sementara itu Hilman, yang juga presiden Kelab Usahawan UiTM yang dibubarkan, mengirim surat bantahan kepada Menteri Pendidikan dengan dakwaan universiti itu tidak pernah mengeluarkan surat rasmi berhubung tindakan itu.
"Apa yang dilakukan (oleh UiTM) adalah tindakan tidak profesional. Semua kenyataan yang diberikan tidak jelas dan tidak sepatutnya dikeluarkan," katanya dalam surat kepada Tan Sri Musa Mohamad awal minggu ini. Satu salinannya diperolehi malaysiakini hari ini.
Akhbar Berita Harian pada Selasa melaporkan kelab itu dan Persatuan Mahasiswa Intelek (PMI) dibatalkan pendaftaran sebulan lalu kerana didapati terbabit dengan kegiatan menentang kerajaan. Kedua-duanya dibubarkan mengikut seksyen 9(1),(2) dan (3) Akta Institusi-institusi Pelajaran Tatatertib 1976.
Hilman pula berkata penggunaan seksyen itu "tidak adil dan zalim" kerana menafikan hak barisan pemimpin kelab itu itu untuk berhujah dengan UiTM berhubung alasan-alasan pembubaran itu.
Beliau juga mempertikaikan dakwaan Naib Canselor Prof Datuk Dr Ibrahim Abu Shah yang dilaporkan berkata terdapat risalah-risalah antikerajaan di bilik persatuan itu.
"Pemeriksaan yang dilakukan tidak sah kerana pimpinan tertinggi Kelab Usahawan tidak dipanggil untuk disoal atau melihat sendiri bahan berkenaan," kata Hilman lagi, dalam surat itu.
Tambahnya, pihak ketiga boleh mereka-reka cerita berkenaan risalah itu kerana bilik kelab itu telah dikunci oleh HEP. "Semuanya dilakukan tanpa pengetahuan kami dan kami menafikan sekeras-kerasnya penglibatan ahli kami dalam (kegiatan) menentang kerajaan."


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.