Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM: Auku tidak akan dimansuh
Diterbitkan:  Jan 27, 2006 5:10 PM
Dikemaskini: Jan 29, 2008 10:21 AM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan tidak akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 walaupun wujud gesaan ke arah itu oleh pihak tertentu.

Dalam pada itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2005/2006

menyerahkan memorandum kepada Najib bagi membantah tindakan kumpulan yang dikenali sebagai Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang mahu akta itu

dimansuhkan.

"MPP sebulat suara menyokong supaya Auku terus dilaksanakan dan mereka

tidak mahu Auku dibantah. Jadi kerajaan terimalah pendirian ini, dan Auku

tidak akan dimansuhkan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan

mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) di Putrajaya.

Dalam memorandum yang diserahkan kepada Najib selepas mesyuarat itu

berakhir, MPP menyifatkan SMM sebagai pertubuhan tidak berdaftar dan

menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan tersebut serta

tidak melayan sebarang tuntutan yang dikemukakannya.

MPP merupakan barisan kepimpinan mahasiswa 17 institusi pengajian

tinggi awam yang dipilih oleh warga universiti melalui pilihan raya kampus

baru-baru ini.

Mengenai hasil mesyuarat MPPK, Timbalan Perdana Menteri berkata ia

antara lain mahu supaya kepimpinan pertubuhan belia dipegang oleh mereka

yang berumur 40 tahun ke bawah, selaras dengan definisi belia yang diguna

pakai di negara ini iaitu mereka yang berumur antara 15 dan 40 tahun.

Najib berkata isu pengangguran di kalangan siswazah turut diberikan

perhatian, dengan ketetapan dibuat supaya satu kajian yang dijalankan

sebelum ini oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) berhubung masalah

itu dijadikan input bagi membantu pelajar membuat persediaan lebih baik

untuk memasuki pasaran kerja.

Kajian MTEN itu, antara lain, menyentuh soal persepsi dan realiti yang

perlu dihadapi golongan siswazah dalam alam pekerjaan, termasuk aspek yang

dinilai oleh majikan swasta dan kerajaan.

"Kalau mereka tahu apa yang dituntut oleh bakal majikan, mereka akan

lebih bersedia untuk menghadapi temuduga, bagaimana nak olah borang

permohonan untuk mendapatkan pekerjaan dan sebagainya," katanya.

Soal menerapkan konsep perkongsian pintar antara pertubuhan pelajar,

swasta serta jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan turut dikupas dalam

mesyuarat tersebut.

Latihan siswazah

Selain itu, Najib berkata ada cadangan supaya garis panduan tertentu

dikeluarkan kepada syarikat swasta berhubung latihan sambil belajar oleh

pelajar pusat pengajian tinggi.

"Kalau mereka tak ada pengalaman bekerja, sekurang-kurangnya kalau

'industrial internship' tercatat dalam dalam vitae kurikulum mereka, maka

ini akan menambahkan peluang mereka mendapat kerja," katanya.

Mesyuarat itu membangkitkan cadangan mengadakan Hari Siswa Negara

selain meminta supaya ciri-ciri Program Latihan Khidmat Negara diterapkan

di kampus.

Najib berkata MPPK melahirkan minat tentang pelbagai kemudahan dan

tabung yang diwujudkan kerajaan bertujuan menggalakkan budaya keusahawanan.

Kesemua perkara yang dibincangkan akan dirumuskan dengan terperinci

oleh Kementerian Pengajian Tinggi sebelum dibawa ke Jemaah Menteri,

katanya.

Turut hadir ialah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Shafie Mohd Salleh

dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamed Khaled Nordin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS