Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Kit Siang dakwa pemimpin BN tidak faham mengapa rakyat marah
Published:  Mar 6, 2006 5:49 PM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM

Terjemahan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang mendakwa bahawa kepimpinan Barisan Nasional (BN) jelas tidak memahami mengapa rakyat marah dengan kenaikan terbaru harga minyak.

Dalam satu kenyatan, beliau berkata, adalah 'mengecewakan', selepas seminggu, perdana menteri, timbalannya dan pemimpin tinggi BN yang lain, masih lagi tidak memahaminya.

Katanya, mereka "telah gagal memahami dan menangani punca utama kemarahan rakyat dan mengapa gesaan supaya rakyat mengubah gayahidup dan 'jangan jadi tamak' dan 'membuat pengorbanan' tidak mendapat perhatian.

Lebih serius lagi, katanya, 4,000 pemimpin BN yang menghadiri taklimat khas semalam juga gagal untuk memahami punca utama kemarahan rakyat berhubung isu tersebut.

Taklimat khas tersebut diadakan untuk memberi penjelasan kepada para pemimpin BN mengenai langkah kerajaan menaikkan harga minyak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Dalam perjumpaan tersebut, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengarahkan mereka menjelaskan kepada rakyat mengenai perkara tersebut bagi membendung rasa tidak puashati rakyat berikutan kenaikan terbaru harga minyak.

Gesaan berat sebelah

Sebaliknya, kata Lim, rakyat marah bukan kerana berlaku kenaikan harga minyak tersebut, tetapi kerana cara dan jumlah kenaikannya.

Yang paling penting lagi, katanya, ialah kehilangan kuasa moral dan legitimasi kerajaan untuk menasihatkan rakyat supaya "mengubah gayahidup mereka dan membuat pengorbanan".

Menurutnya lagi, kegagalan pentadbiran Abdullah untuk melaksanakan ikrar membawa pembaharuan, terutama selepas memenangi 97 peratus kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum 2004, telah menghakis kuasa moral dan legitimasi untuk membuat gesaan yang disifatkannya sebagai "berat sebelah".

Lim berkata, kecuali Abdullah bersedia untuk menangani punca kemarahan rakyat terhadap kerajaan kerana "cakap tidak serupa bikin", maka gerakan penerangan yang membabitkan 4.5 ahli BN itu tidak akan membawa sebarang hasil.

Semalam, Perdana Menteri berkata, kekurangan penerangan mengenai kenaikan terbaru harga minyak menyebabkan ada rakyat yang tidak memahami rasional langkah tersebut dan pembangkang telah mengambil kesempatan itu untuk mengkritik kerajaan.

Berikutan kenaikan harga minyak itu yang telah mengejutkan rakyat Malaysia itu, harga minyak kini naik 30 sen menjadi petrol kini berharga RM1.92 dan diesel RM1.58.

Prihatin

Dalam satu perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan Abdullah berkata hari ini, beliau sedar Abdullah berkata beliau sedar ada pihak yang berdemonstrasi di sana sini sebagai membantah kenaikan harga minyak sambil menuduh kerajaan tidak prihatin terhadap nasib rakyat.

"Tak ada siapa yang suka kenaikan harga. Tetapi kalau kita pandai menguruskan perbelanjaan kita, Insya-Allah ia tak akan jadi teruk sangat," katanya.

Sambil menarik perhatian bahawa subsidi minyak merupakan antara perkara besar dalam belanjawan negara, Abdullah menekankan bahawa kerajaan bukannya menarik balik semua subsidi berkenaan.

"Ada orang kata kerajaan tarik habis subsidi. Bagi orang yang tak tahu atau yang nak 'manipulate' pemikiran atau kemarahan rakyat, mereka cakap subsidi dah habis dah, kata kerajaan tak prihatin dan sebagainya. Tapi kerajaan masih lagi beri subsidi yang agak banyak," katanya.

Perdana Menteri mengulangi bahawa penguatkuasaan akan diperketatkan bagi mencegah golongan peniaga daripada menaikkan harga barangan dan perkhidmatan yang boleh menjurus kepada kenaikan kadar inflasi.

"Penguatkuasaan perlu ada bagi pastikan barang-barang tak dinaikkan, tak ada 'profiteering' (mengaut keuntungan). Kita mesti tegas dalam hal ini," katanya sambil menambah kerajaan telah memperkenalkan kawalan harga bagi barangan perlu sejak sekian lama.

Selain itu, Abdullah berkata jentera kerajaan perlu menjadikan berjimat sebagai satu amalan termasuk daripada segi penggunaan elektrik di bangunan kerajaan.

"(Janganlah) nak guna satu bilik, pakai elektrik satu 'floor' (tingkat)," katanya.

Menurutnya kakitangan awam juga mesti mengelak berlakunya penangguhan dan rasuah dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

"Rasuah menyebabkan kos naik. Pastikan ini jangan berlaku. Kita tak mahu rasuah menjadi satu masalah yang besar, yang menyebabkan nanti rakyat dan kerajaan dikenali kerana terpalit dengan rasuah.

"Kita tidak mahu begitu. Kita tak mahu orang kata kita ni 10 peratus punya orang, dua, tiga, lima peratus punya orang. Jangan ada imej yang macam itu," tegas Abdullah. Berita asal

ADS