Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
30% pemilikan ekuiti bumiputera dilanjutkan sehingga 2020
Published:  Mar 31, 2006 7:12 PM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM

Terjemahan Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) mensasarkan pencapaian 30 peratus ekuiti pemilikan bumiputera sebanyak 30 peratus pada 2020, dan bukannya lagi pada 2010.

Menurut laporan RMK9, walaupun kerajaan komited dalam memastikan pencapaian sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera, tetapi pada realitinya, ia hanya boleh dicapai dalam jangka masa yang panjang.

Manakala matlamat 3 peratus pemilikan ekuiti bagi kaum India di sektor korporat juga turut disasarkan pada 2020.

Di samping pemilihan ekuiti saham modal, tempoh lima tahun akan datang akan memfokuskan kepada aspek pemilikan kekayaan, terutama pemilikan bumiputera bagi aset yang produktif fizikal dan bukan fizikal.

Selaras dengan itu, program-program akan dilaksanakan untuk memperluaskan pemilikan bumiputera termasuk pemilikan harta kediaman, perniagaan terutama di luar bandar.

Menurut laporan RMK9 lagi, pemilikan saham modal bumiputera pada nilai setara, telah meningkatkan dari RM63 bilion pada 2000 kepada RM100 bilion pada 2004.

Namun begitu, nisbah pemilikan ekuiti bumiputera masih tidak berubah pada tahap 18.9 peratus.

Bagaimanapun, pemilikan ekuti bagi kaum India merosot daripada 1.5 peratus kepada 1.2 peratus walaupun jumlahnya meningkat sebanyak RM1.3 bilion. Manakala pemilikan ekuiti bagi rakyat asing meningkat daripada 31.3 peratus kepada 32.5 peratus.

Mengikut laporan 9MP lagi, beberapa langkah baru akan diambil untuk meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera.

Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan menerajui kempen menarik lebih ramai bumiputera melabur dalam unit amanah. PNB juga akan menawarkan lebih banyak unit amanah untuk pelabur bumiputera.

Konsep baru

Melalui konsep pemilikan kekayaan yang kini diperluaskan merangkumi pemilikan harta, agensi amanah bumiputera dan syarikat berkaitan kerajaan akan berperanan aktif untuk menambah harta komersil bumiputera di kawasan bandar.

Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera, dengan peruntukan modal awal sebanyak RM2 bilion, akan ditubuhkan untuk menambah pemilikan harta bumiputera di lokasi strategik, terutama di kawasan bandar.

Lembaga Pembangunan Bandar (UDA) akan ditubuhkan semula untuk membantu usaha yayasan berkenaan mengenalpasti dan membeli harta komersil, terutama di bandar besar, dan menyediakan lebih banyak peluang kepada peniaga bumiputera di lokasi perniagaan utama.

Manakala sumber dari wakaf, baitulmal and zakat akan digerakkan untuk meningkatkan pembangunan bumiputera dan umat Islam dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pembangunan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) akan diteruskan dalam memenuhi agenda menyusun semula masyarakat dan memastikan penyertaan yang lebih bererti Bumiputera dalam sektor ekonomi.

Fasa kedua program MPPB akan dilancarkan untuk membangunkan usahawan Bumiputera yang berdikari, berdaya tahan dan berdaya saing serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera yang mantap.

Satu program khas akan dilaksanakan dengan penekanan untuk membantu membesarkan lagi PKS bumiputera terpilih dengan jumlah jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM25 juta.

Bagaimanapun, tidak banyak langkah khusus yang diambil untuk membantu masyarakat India mencapai sasaran 3 peratus pemilikan ekuiti pada 2020 walaupun nisbah pemilikan mereka merosot dalam tempoh lima tahun yang lalu.

Laporan tersebut menyebut, golongan masyarakat India yang miskin akan diberi peluang melabur dalam skim unit amanah terpilih, dibedri bantuan untuk berniaga dan menghadiri kursus kemahiran di Pusat Giat Mara and Pusat Putra, sebuah institut baru yang melatih belia dalam kemahiran di bidang ICT dan mekanik kereta. Berita asal

ADS