Most Read
Most Commented
Read more like this

rencana Abu Munzir pada 18 Jun 2001 pernah menulis dua artikel mengenai reformasi dalam Umno di malaysiakini . Artikelnya yang bertajuk Reformasi Umno: Penyelesaian politik negara? dan BA digugat idea 'reformasi Umno' membawa saya meneliti laman web Umno-reform tersebut sebelum menyuarakan pendapat peribadi saya mengenai kewujudannya.

Laman web tersebut nampaknya lebih bersikap terbuka dengan beberapa penulisan mereka yang menjerumus kepada mengkritik Umno dan kerajaan memerintah di samping menegur dan menghentam Barisan Alternatif (BA).

Apakah sebenarnya hasrat mereka yang mentadbir laman ini dan sejauhmanakah mereka berani mengkritik Umno dan kerajaan memerintah tanpa menghadapi tekanan sepertimana yang di hadapi oleh media-media lain, khususnya media cetak dan media internet.

Apakah mereka bebas atau "dikecualikan" daripada dikenakan tekanan kerana mengkritik kerajaan khususnya Umno? Kalau benar mereka bebas atau "dikecualikan", kenapa dan apakah muslihat kewujudan mereka dalam keadaan politik Umno yang agak gawat di kala ini.

Kajian ke atas laman ini perlu dilakukan agar kita tidak terpengaruh dengan usaha politik terbaru Umno yang mana segala teguran atau kritikan tersebut hanya untuk mengaburi mata rakyat dengan idea, kononnya perubahan dalam Umno sedang giat dijalankan.

Apakah ini bukan satu strategi bijak? Mereka berusaha untuk menyebelahi rakyat di samping menunjukkan bahawa Umno harus terus dan WAJIB memerintah. Laman ini banyak membincangkan perubahan dalam Umno tetapi tidak langsung menunjukkan tanda-tanda mahu menuntut perubahan dengan lebih terbuka.

Sungguhpun begitu ada tanda-tanda bahawa laman ini telah mula diterima oleh segelintir mereka yang masih dalam Umno tetapi mahu Umno berubah.

Apakah strategi laman ini?

Laman ini seolah-olah dibentuk untuk menghubungi golongan reformasi dengan penggunaan perkataan reform dalam Umno. Berhubung dengan golongan reformasi sebenarnya memberi mereka peluang untuk berhujah dengan menekankan isu Melayu secara keseluruhan dan menggariskan bahawa keutamaan mereka adalah untuk memajukan rakyat Malaysia tanpa memagarinya dengan soal-soal politik.

Ini mampu menarik perhatian mereka yang tidak kukuh bersama golongan reformasi dan mereka yang berdiri di atas pagar. Strategi ini mampu menarik pembaca untuk melupakan isu politik dan menumpukan perhatian bersama Umno untuk memajukan rakyat dan meningkatkan nilai kehidupan di Malaysia. Ini akan mengelabui mata mereka yang belum begitu pasti apakah sebenarnya tujuan dan desakan reformasi.

Dalam usaha mengenal tugas dan teknik pengusaha laman ini maka satu perhubungan melalui "chat" dengan mereka telah dilakukan tanpa mereka mengetahui siapa yang menghubungi mereka.

Secara keseluruhannya mereka menekankan bahawa adalah sempit andainya kita "melihat sesuatu isu hanya dari perpektif politik semata-mata". Mereka percaya bahawa kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya berani menegur pemerintah demi kesejahteraan rakyat.

Mereka seolah-olah mengatakan bahawa adalah tidak penting siapa memerintah tetapi yang penting ialah corak pemerintahan harus menjurus kepada kemakmuran rakyat. Yang melucukan ialah mereka masih dalam Umno sungguhpun kita diminta untuk melihat sesuatu dengan melangkaui sempadan politik.

Implikasi terhadap perjuangan reformasi

Menurut Abu Munzir dalam artikelnya BA digugat idea Reformasi Umno yang tersiar di malaysiakini mengariskan:

"Sekiranya kita melihat senario ini, nyata sekali idea 'mereformasikan Umno' sebenarnya bukanlah bertujuan mengubah parti itu, apatah lagi memenuhi keperluan perubahan yang lebih mendasar dan utama seperti dihasratkan kebanyakan reformis. Sebaliknya "mereformasikan Umno" bertujuan meredakan gelombang reformasi rakyat tanpa melakukan sebarang perubahan asas".

Kenyataan ini amat tepat sekali. Laman Umno-reform.com bertujuan untuk menjauhkan rakyat dari melihat senario sebenar keadaan politik di Malaysia dan hanya bertujuaan untuk meredakan gelombang reformasi rakyat. Di samping itu laman ini bertujuaan untuk mengaburi mata mereka yang tidak terikat dalam mana-mana parti politik atau lebih dikenali sebagai mereka yang di atas pagar.

Menurut Abu Munzir lagi: "Tujuan idea 'mereformasikan Umno' lebih untuk menjamin penerusan kepimpinan Umno apabila berlaku perubahan pucuk pimpinan parti itu dan negara. Namun, ini tidak bererti idea 'mereformasikan Umno' tidak mempunyai daya tarikan."

Apakah tidak ada kebenaran dalam kenyataan ini? Laman ini berhasrat untuk memastikan Umno kembali menerajui kepimpinan negara ini serta mendapat sambutan seperti dahulu andai terdapat perubahan dalam kepimpinan Umno.

Ini merupakan satu strategi cantik dan strategi ini mampu menarik perhatian untuk mereka meneruskan usaha-usaha meredakan gelombang reformasi.

Dalam barisan terakhir artikel Abu Munzir beliau mengariskan kata-kata berikut: "Sekiranya Barisan Alternatif leka, idea 'mereformasikan Umno' ini akan menyebabkannyakehilangan sokongan dan menghadapi kemerosotan. Dalam pertembungan dua pihak ini, mereka yang pintar dan pantas akan menang."

Kenapa saya dedahkan kembali laman Umno-Reform.com?

Saya mengambil jalan yang berbeza. Saya dedahkan usaha-usaha laman ini agar pelawat yang melawat lamannya tidak mudah terpengaruh. Strategi saya ialah biar kita yang mendedahkan kewujudan laman ini agar pelayar yang secara tidak langsung melayari laman ini tidak terkejut dan tidak terpengaruh tanpa melihat justifikasi sebenar pembentukan laman ini.

Saya percaya dengan pendedahan ini maka kita mampu melihat pelbagai selok-belok taktik dan teknik yang di laksanakan oleh Umno untuk menjarakkan kita daripada terlibat dengan politik tanahair dan seterusnya meredakan perjuangan reformis.

Saya percaya ini perlu untuk kita lakukan daripada kita hanya menyorokkan musuh dari pengetahuan kita pendokong reformasi.

Oleh itu apa yang dikatakan oleh Abu Munzir adalah tepat khususnya pesanan terakhir beliau: "Dalam pertembungan dua pihak ini, mereka yang pintar dan pantas akan menang."


Badaruddin Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Din adalah bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Pak Din juga adalah seorang anggota sekretariat pertubuhan bukan kerajaaan Suaram.

ADS