Satu lagi kampung Melayu di KL akan lenyap....
Seramai 348 keluarga di Kampung Cubadak, Sentul di Kuala Lumpur merayu kepada kerajaan supaya megubah jajaran Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (Duke) bagi mengelakkan rumah mereka daripada diroboh dan tanah mereka diambilalih.
Seramai 348 keluarga di Kampung Cubadak, Sentul di Kuala Lumpur merayu kepada kerajaan supaya megubah jajaran Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (Duke) bagi mengelakkan rumah mereka daripada diroboh dan tanah mereka diambilalih.
Jawatankuasa Bertindak Kampung Cubadak bimbang jika tanah terbabit termasuk kawasan rezab Melayu seluas 1.5 ekar itu dijadikan tapak lebuhraya berkenaan, akhirnya satu lagi kampung Melayu di Kuala Lumpur akan lenyap.
Setiausahanya, Hatijah Ibrahim (kanan-bawah) berkata, jajaran Duke yang melalui perkampungan Cubadak akan menyebabkan banyak rumah orang Melayu dirobohkan dan sekaligus memaksa mereka berpindah ke tempat lain.
"Mungkin 1.5 ekar, yang melibatkan 25 hingga-30 buah rumah itu sedikit pada pemaju, tetapi jumlah it sangat besar bagi penduduk dan tuan tanah di Kampung Cubadak," katanya kepada malaysiakini yang meninjau kawasan jajaran Duke di Kampung Cubadak hari ini.
Lot 1132 dan Lot 3736 seluas 1.5 ekar itu adalah sebahagian daripada kawasan yang diwartakan sebagai tanah rezab Melayu di kampung berkenaan.
"Projek Duke ini memberi isyarat bahawa satu lagi kawasan tanah Rezab Melayu akan pupus seperti yang berlaku di beberapa tempat lain.
"Memandangkan kampung Cubadak tidak termasuk dalam senarai 12 buah kampung tradisional dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020, isyarat itu akan menjadi kenyataan tidak lama lagi," kata Hatijah.
Pembangunan pesat
Kampung Cubadak yang dibuka oleh orang Melayu pada tahun 1880-an, terletak kira-kira tiga kilometer dari bandaraya Kuala Lumpur dan kekal sebagai perkampungan Melayu walaupun kawasan sekitarnya mengalami pembangunan pesat.
Hatijah berkata, pihaknya tidak menentang projek tersebut tetapi sebaliknya mencadangkan dua jajaran alternatif kepada pemaju bagi mengelakkan lebuhraya itu melalui kampung Cubadak.
Tetapi katanya, sehingga hari ini pihak berkenaan tidak memberi jawaban yang memuaskan.
"Pemaju mendakwa jajaran alternatif yang kami cadangkan itu lebih tinggi kosnya. Tidakkah kutipan tol selama 30 tahun nanti sudah lebih dari cukup untuk menampung kos mereka?" soal beliau.
Jawatankuasa bertindak berkenaan telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 16 April lalu. Salinan memorandam tersebut juga diberi kepada Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa pemimpin lain.
Hatijah juga mendakwa, pemilik tanah dan penduduk tidak mendapat maklumat yang lengkap mengenai urusan pengambilan tanah dan pelaksanaan projek ini.
Jajaran lebuhraya
"Kami hanya tahu mengenainya apabila notis penerangan pengambilan tanah ditampal pada pokok dan dinding di kampung ini pada tengah tahun lalu."
Majlis penerangan itu diadakan di pejabat tanah negeri pada bulan Oktober 2005.
Menurut Hatijah, pada majlis penerangan itu penduduk diberitahu tanah yang menjadi jajaran lebuhraya itu telah dibatalkan pewartaan rezab Melayunya dua bulan sebelum itu.
"Bagaimana ini dilakukan tanpa pengetahuan kami?" soal Mohd Syawal, seorang lagi ahli jawatankuasa bertindak kampung Cubadak.
Beliau berkata, kerajaan perlu memberi layanan wajar kepada penduduk kampung Cubadak kerana mereka mempunyai geran tanah dan bukannya setinggan yang boleh diarahkan berpindah sesuka hati.
Projek lebuhraya Duke ini bernilai RM400 juta dan kerja-kerja awal telah dimulakan di Jalan Duta dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.