Noh: 162,000 pelajar sekolah buta huruf tahun lalu

Seramai 162,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara didapati tidak menguasai 2M iaitu tidak tahu membaca dan menulis pada tahun lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar berkata, daripada jumlah itu 120,000 adalah murid sekolah rendah dan bakinya pelajar sekolah menengah.

Katanya, jumlah pelajar sekolah rendah yang buta huruf itu merupakan 2.2 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar sekolah rendah pada tahun lepas.

"Seramai 42,000 atau 0.8 peratus pula merupakan pelajar sekolah menengah. Statisktik ini berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran tahun lalu," jelasnya.

Menurut laporan Bernama, jumlah keseluruhan pelajar sekolah rendah dan menengah tahun lepas ialah seramai 5.1 juta orang.

"Kementerian sedang mengambil langkah proaktif bagi mengatasi masalah itu. Kita ada kelas pemulihan yang diadakan secara berterusan khusus bagi pelajar yang menghadapi masalah sedemikian bagi memastikan mereka dapat membaca dan menulis," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pelajaran di Putrajaya.


Noh berkata, kementerian turut memperkenalkan Kelas Intervensi Awal 2M iaitu mengadakan satu ujian khas khusus untuk kanak-kanak tahun satu bagi mengetahui tahap kebolehan membaca dan menulis, mulai April lepas.

Katanya tumpuan adalah kepada kemahiran membaca dan menulis dalam bahasa Melayu.

"Jika gagal, pelajar terbabit akan dikehendaki mengikuti kelas pemulihan dan jika gagal kerana masalah kesihatan seperti kecacatan, mereka akan dihantar ke sekolah pendidikan khas," katanya.

Beliau berkata dengan adanya penilaian tersebut, pelajar yang tidak tahu membaca dan menulis akan dapat dikesan dari awal.

Katanya matlamat kementerian ialah semua murid akan dapat menguasai 2M apabila naik darjah 2 kelak dan sebagai menangani masalah pelajar yang gagal menghayati program Menulis, Membaca dan Mengira (3M).


 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.