NGO Islam mahu kumpulan Article 11 ubah pendekatan
Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menjelaskan mereka tidak menentang hak kumpulan atau orang bukan Islam membincangkan perkara berkaitan Islam tetapi mahu semua perbincangan dibuat secara baik dan dengan rasa saling hormat menghormati antara agama.
Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menjelaskan mereka tidak menentang hak kumpulan atau orang bukan Islam membincangkan perkara berkaitan Islam tetapi mahu semua perbincangan dibuat secara baik dan dengan rasa saling hormat menghormati antara agama.
Menurut mereka, perbincangan secara terbuka dan bersifat provokatif mengenai isu-isu sensitif seperti murtad dan bidangkuasa Mahkamah Syariah, perlu dihentikan bagi menjamin keharmornian masyarakat pelbagai agama dan kaum negara ini.
Sebaliknya, mereka mahu semua pihak yang terlibat dengan kumpulan Article 11 supaya menghormati nasihat Perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu isu-isu berkaitan agama tidak dibangkitkan secara sewenang-wenangnya.
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menegaskan, forum terbuka atau 'roadshow' mengenai murtad dan artikel 121 (A) Perlembagaan Persekutuan perlu dihentikan segera bagi mengelakkan insiden demonstrasi di hadapan sebuah hotel di Pulau Pinang pada 14 Mei lalu berulang.
Setiausaha Agung Abim, Khairul Arifin Mohd Munir berkata forum atau 'roadshow' yang dianjurkan oleh kumpulan Article 11 adalah tidak wajar kerana ia boleh menimbulkan unsur-unsur hasutan dan provokatif.
"Kumpulan Article 11 perlu menghentikan program mereka. Jika mereka mahu terus memperjuangkan isu-isu berkenaan, mereka boleh menggunakan saluran lain yang dirasakan lebih selamat dan berkesan.
Perbincangan tertutup
Kita ada Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Agama Islam untuk dirujuk atau diajak berunding. Mengapa tidak diadakan perbincangan tertutup dengan pihak yang pakar dan berkuasa ini?"persoal Khairul Arifin.
Beliau menegaskan, forum terbuka yang dihadiri oleh ahli panel yang kurang mahir tentang undang-undang Islam serta 'bias' tidak akan menyelesaikan masalah dan isu yang dibangkitkan itu.
"Abim berpendapat isu dan masalah ini perlu dibincangkan secara ilmiah. Abim membantah tindakan mereka kerana kumpulan ini menggunakan cara dan saluran yang salah, kita tidak menafikan hak mereka untuk bersuara tetapi mereka perlu mengkaji semula pendekatan mereka," tegas Khairul Arifin lagi.
Penolong Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia cawangan Pulau Pinang, Mohd Hafiz Nordin juga bersetuju kumpulan Article 11 boleh mempersoalkan artikel 121 (A) Perlembagaan Persekutuan tetapi bukan dengan cara yang boleh dianggap biadap.
"Cara seperti itu akan menimbulkan keresahan di kalangan orang Islam dan membangkitkan sentimen anti-Islam,"ujarnya.
Ikut nasihat PM
Mohd Hafiz yang merupakan salah seorang tokoh utama dalam demonstrasi 14 Mei itu berkata, kes-kes yang telah diselesaikan oleh Mahkamah Syariah seperti status agama Allahyarham Mohammad Abdullah @ M.Moorthy atau mendiang Nyonya Tahir tidak wajar dibangkitkan lagi.
"Keputusan Mahkamah Syariah perlu dihormati. Apa akan jadi kalau setiap kes Mahkamah Syariah dirujuk dan dibatalkan oleh mahkamah sivil. Tidakkah akan huru-hara masyarakat dan perundangan kita,"katanya.
Beliau juga berkata, keharmornian negara akan terancam jika agama-agama di negara ini saling persoal mempersoalkan ajaran agama lain.
"Apa yang ditentang oleh NGO-NGO Islam ialah cara Article 11 mempermainkan isu ini. Caranya sangat tidak bertanggungjawab," tambahnya.
Sementara itu Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Azmi Abdul Hamid pula berkata, forum Article 11-IFC itu dibantah kerana agenda mereka mahu meminggirkan Mahkamah Syariah.
"Dengan menggunakan alasan hak asasi manusia mereka memburuk-burukkan hukum Islam dan Mahkamah Syriah. Mereka mempunyai hasrat tersirat untuk meletakkan undang-undang syriah di bawah undang-undang sivil," katanya lagi.
Azmi mahu semua pihak yang terlibat dengan kumpulan Article 11 menghormati nasihat Perdana Menteri, yang mahu isu-isu berkaitan agama tidak dibangkitkan secara sewenang-wenangnya.

